suria

Bomba Selamatkan Harta Bernilai RM35 Bilion Daripada Kebakaran Tahun Lalu

Gambar hiasan.

LABUAN: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia menyelamatkan harta bernilai RM35.8 bilion daripada hangus dalam kebakaran di seluruh negara tahun lepas, berbanding RM29.5 bilion pada 2015, peningkatan sebanyak 21.4 peratus.

Jumlah kematian akibat kebakaran pula menurun 30 peratus daripada 153 pada 2015 kepada 107 tahun lepas.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) jabatan itu, Datuk Soiman Jahid berkata, 90,277 panggilan kecemasan diberi respons tahun lepas, dengan 49,875 adalah panggilan untuk memadam kebakaran dan 40,402 panggilan untuk meminta bantuan menyelamat.

"Secara purata, kami memberi respons kepada 247 panggilan sehari atau satu panggilan setiap enam minit.

"Secara keseluruhan, jumlah panggilan yang diterima meningkat 10 peratus daripada 82,000 panggilan pada tahun sebelumnya," kata beliau pada majlis penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2016 di sini, Rabu.

Beliau berkata, walaupun terdapat peningkatan dari segi jumlah panggilan, jumlah kerugian dan kemusnahan harta menurun sebanyak 34 peratus daripada RM4.4 bilion pada 2015 kepada RM2.9 bilion tahun lepas.

"Dengan adanya perancangan strategik, kami dapat memberi respons kepada sesuatu panggilan kecemasan dalam tempoh tidak sampai 10 minit.

"Tempoh respons akan dapat dikurangkan dengan banyak apabila siapnya pembinaan 39 balai bomba baharu di seluruh negara tidak lama lagi.

"Kami berharap 15 daripada balai bomba baharu ini akan siap sepenuhnya menjelang akhir tahun ini," kata beliau.

Soiman berkata, konsep Pos Bomba diamalkan di tempat strategik di bandar utama seluruh negara bagi membantu mempercepatkan tempoh respons.

"Setakat ini kami sudah menubuhkan lapan Pos Bomba dan lebih banyak lagi akan ditubuhkan selepas ini," katanya. - Bernama

Artikel Lain