suria

Terserah Kepada PAS Tentu Hala Tuju Politik - Azmin

Datuk Seri Mohamed Azmin Ali

SHAH ALAM: Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyerahkan kepada pucuk pimpinan PAS untuk menentukan hala tuju kerjasama politik PKR-PAS  susulan cadangan PAS kawasan agar hubungan itu diputuskan.

Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata dari segi PKR, pendirian mereka tidak berubah malah mahu semua parti pembangkang termasuk PAS kekal dengan misi bekerjasama untuk memenangi pilihan raya umum ke-14 (PRU-14).

"... kita tengok nanti apa yang akan diperkatakan dalam muktamar mereka (PAS).

"Pendirian PKR tetap sama (kekal berhubungan dengan PAS) dan meneruskan misi satu lawan satu pada PRU-14," katanya kepada pemberita, di sini Isnin.

Beliau berkata demikian bagi mengulas tindakan PAS Permatang Pauh, Pulau Pinang semalam yang mencadangkan PAS pusat memutuskan kerjasama politik dengan PKR.

Terdahulu, Mohamed Azmin yang juga Menteri Besar Selangor menghadiri perhimpunan bulanan jabatan kerajaan negeri anjuran Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor di sini.

Mengulas lanjut, Mohamed Azmin berkata PKR tidak pernah memutuskan hubungan dan kerjasama dengan mana-mana rakan pembangkang malah pihaknya sentiasa bersikap terbuka dan bersedia untuk terus berbincang dengan PAS mengenainya.

Semalam PAS kawasan Permatang Pauh dilapor meluluskan usul agar PAS pusat memutuskan hubungan dengan PKR berikutan tindakan parti itu dikatakan bertentangan dengan prinsip tahaluf siyasi.

Cadangan Yang Dipertua PAS Permatang Pauh Omar Hassan itu berasaskan tindakan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk terus bekerjasama dengan DAP dan Parti Amanah Negara yang banyak menyerang kepimpinan PAS.


Artikel Lain