suria

Padi Perlukan Insurans - MARDI

GAMBAR HIASAN

SERDANG: Padi adalah antara tanaman yang perlu dipertimbangkan untuk insurans tanaman di Malaysia, kata Ketua Pengarah Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Datuk Dr Sharif Haron.

Beliau berkata insurans tanaman merupakan satu alat yang sangat penting untuk mengekalkan semangat petani selain jaminan terhadap aktiviti pertanian dan pendapatan sekiranya berlaku musibah akibat bencana alam.

Beliau berkata pemilihan tanaman yang hendak diinsuranskan perlulah berdasarkan kepada keutamaan negara.

"Seperti kebanyakan negara Asia lain yang mana beras adalah makanan ruji, Malaysia juga perlu mempertimbangkan menjadikan padi sebagai tanaman utama yang perlu diinsuranskan," kata seperti dilaporkan Bernama.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas perasmian persidangan 'Round Table on Agricultural Insurance - A Climate Change Adaption Tool in African, Asian and Pasific Regions', di ibu pejabat MARDI di sini pada Selasa.

Sharif berkata kesedaran tentang kepentingan insurans tanaman dalam kalangan pengusaha sektor pertanian perlu diperhebat berikutan fenomena global, khususnya ketidaktentuan alam sekitar.

"Telah ada usaha di pihak kerajaan untuk melaksanakan perkara ini tetapi kita faham untuk melaksanakannya pelbagai perincian dari aspek prosedur dan polisi membabitkan pihak lain yang berkaitan perlu diperinci terlebih dahulu.

"Di pihak petani pula, kita lihat telah ada kesedaran tentang hal ini berikutan kerisauan mereka mengenai kerugian, bukan hanya akibat bencana alam tetapi faktor lain seperti serangan makhluk perosak," katanya.

Mengenai persidangan yang julung kali dianjurkan MARDI itu, Sharif berkata ia bagi membolehkan Malaysia berkongsi pengalaman mengenai program insurans di negara lain, sekali gus menjadi landasan ke arah penggubalan garis panduan memperkenalkan program seperti itu di negara ini. 

"Setiap negara mempunyai pengalaman berbeza mengenai pembangunan dan pengurusan insurans pertanian berdasarkan ketidaktentuan alam, cuaca dan iklim tetapi pengalaman itu boleh dijadikan rumusan dalam menyediakan garis panduan dan cadangan kepada penggubal dasar yang mahu memperkenalkan program insurans pertanian," katanya.

Program tiga hari anjuran bersama oleh Centre on Integrated Rural Development for Asia and the Pacific (CIRDAP) dan Afican-Asian Rural Development Organisation (AARDO) melibatkan 37 peserta dari 25 negara Afrika dan rantau Asia Pasifik itu dirasmikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Azizan Mohamad Shahid.

Sharif Sharon, Mardi, Padi

Artikel Sebelum

IS: Petani Dipenjara Lima Tahun

Artikel Berikut

Artikel Lain