suria

Remaja Maut, Rakan Parah Dalam Kemalangan Di Seremban

Gambar hiasan.

SEREMBAN: Seorang penunggang maut manakala rakannya parah apabila motosikal mereka melanggar belakang sebuah kereta di Km 25.5 Jalan Seremban-Tampin, dekat sini malam Khamis.

Ketua Polis Daerah Rembau DSP Ibrahim Sharif berkata dalam kejadian 10.22 malam itu, Taufik Ali Adam, 17, maut di tempat kejadian manakala pembonceng, Mohamad Hisyamuddin Mustapa, 17, cedera parah.

"Berdasarkan siasatan awal, kejadian berlaku apabila motosikal dari arah Seremban menghala ke Rembau itu melanggar bahagian belakang sebelah kiri sebuah Perodua Myvi yang datang dari arah bertentangan dan tiba-tiba membelok ke kanan," katanya.

Ibrahim berkata mayat mangsa dibawa ke Hospital Tampin untuk bedah siasat manakala rakannya dirawat di zon kuning (separa kritikal) Hospital Tuanku Jaafar, Seremban.

Pemandu Perodua Myvi tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - BERNAMA


remaja, kemalangan

Artikel Lain