suria

Dinosaur 'Tawan' Melaka

Mohd Walid Buyung, 33, mendukung anaknya Mohd Amirul Wafi, 3, sementara isterinya Norliza Mohd Saad,memangku bayi mereka Mohd Amirul Akhil, 2 bulan, bersama anak mereka,Nor Shuhada, 8, (kiri) dan Nor Maisara,5, tertarik dengan fosil dinasour T-Rex yang dipamerkan pada Pameran Dunia Yang Hilang - Meteor dan Fosil, di Muzium Dunia Melayu Dunia Islam di Bandar Hilir pada 1 Februari 2017. - BERNAMA

MELAKA: Fosil dinosaur adalah antara yang dipamerkan dalam 'Pameran Dunia Yang Hilang' di Muzium Dunia Melayu Dunia Islam, Bandar Hilir di sini bermula Jumaat lepas hingga 26 Februari ini.

Ia adalah antara 150 fosil termasuk koleksi meteor, ikan dan tumbuhan berusia lebih 300 juta tahun yang dipamerkan kali pertama di Melaka.

Pengerusi Lembaga Pengarah Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) Datuk Hamdin Abdollah berkata pameran hasil kerjasama perbadanan itu dengan syarikat KBZ Ventures itu menampilkan fosil dari serata dunia antaranya Amerika Syarikat, Australia, India dan Arab Saudi.

"Fosil yang kali pertama dipamerkan di Melaka ini mampu menjadi tarikan pelancong bertepatan dengan hasrat kerajaan negeri yang menyasarkan 16.75 juta pengunjung tahun ini.

"Selain itu, ia juga merupakan platform kepada generasi muda mendalami ilmu penyelidikan paleontologi dan geologi," katanya seperti dilaporkan Bernama ketika merasmikan pameran tersebut di sini pada Rabu.

Turut hadir Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah, Pengurus Besar Perzim Datuk Khamis Abas dan Pengarah Urusan KBZ Ventures Siti Nor Khadijah Sh Hassan.

Pameran itu dibuka kepada orang ramai setiap hari dari 9 pagi hingga 7 malam dan dari 9 pagi hingga 9 malam pada Sabtu dan Ahad. Kadar bayaran ialah RM10 bagi kanak-kanak dan RM15 untuk dewasa.

Sementara itu, Siti Nor Khadijah berkata seramai 200,000 pengunjung disasarkan untuk pameran tersebut yang akan memberi pendedahan kepada pelajar dan masyarakat mengenai sejarah pembentukan bumi.

"Artifak yang terdapat di sini adalah artifak asal dan telah dijaga dan disimpan rapi mengikut adab dan syaratnya. Justeru saya berharap orang ramai tidak melepaskan peluang keemasan mengunjungi pameran ini," katanya yang turut merancang mengadakan pameran sama di Johor.

Beliau berkata semua fosil yang dipamerkan itu merupakan hak milik persendirian dan dianggarkan bernilai kira-kira RM1.5 juta.

Hamdin Abdollah, Perzim, Khamis Abas

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain