suria

Banjir: Jumlah Mangsa Di Pahang Meningkat, Johor Kekal

Penghuni Kuarters Jabatan Kerja Raya Lipis Mohd Syakirin Salimi, 17, terpaksa mengharungi air bah yang deras hingga ke paras pinggang ketika pulang ke rumah untuk mengambil barang pada tinjauan BERNAMA pada 26 Januari 2017.

JOHOR BAHRU: Sebanyak 6,852 orang daripada 1,989 keluarga masih ditempatkan di 69 pusat pemindahan sementara (PPS) di Johor, setakat 8 pagi Jumaat.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Dan Alam Sekitar negeri Datuk Ayub Rahmat berkata kesemua mangsa terlibat adalah dari daerah Segamat, Tangkak, Kluang dan Muar.

Beliau berkata Segamat masih mencatatkan bilangan mangsa paling ramai iaitu sebanyak 4,928 orang daripada 1,464 keluarga di 50 PPS.

"Tangkak pula mencatatkan jumlah mangsa seramai 1,490 orang daripada 401 keluarga yang ditempatkan di 12 PPS," katanya dalam satu kenyataan seperti dilaporkan Bernama.

Katanya di Muar, lima pusat penempatan masih dibuka yang menempatkan 415 mangsa daripada 118 keluarga manakala Kluang pula mencatatkan 19 mangsa daripada enam keluarga yang ditempatkan di dua PPS.

Ayub berkata dua buah sekolah masih ditutup iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Felcra Bukit Kepong dan Sekolah Kebangsaan Kampung Tengah di Segamat.

"Sehingga kini, bencana banjir ini telah meragut dua nyawa iaitu seorang lelaki berusia 21 tahun dan seorang warga emas berusia 58 tahun," katanya.

Di Pahang, jumlah mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat pemindahan di sembilan daerah kembali meningkat kepada 7,186 orang daripada 1,935 keluarga pagi hari sama berbanding 6,830 orang daripada 1,872 keluarga malam Khamis.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia negeri Pahang Zainal Yusoff berkata daerah Lipis masih mencatatkan pemindahan paling ramai melibatkan 2,395 orang daripada 652 keluarga.

Beliau berkata Jerantut mencatatkan seramai 1,200 orang daripada 366 keluarga diikuti Rompin (1,001 orang daripada 277 keluarga), Temerloh (913 orang daripada 224 keluarga), Kuantan (548 orang daripada 119 keluarga).

"Pekan (496 orang daripada 114 keluarga), Maran (310 orang daripada 93 keluarga), Raub (227 orang daripada 65 keluarga) dan Bera (96 orang daripada 25 keluarga)," katanya.

Sementara itu, Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang dibuka turut bertambah kepada 115 buah berbanding 102 sebelum ini dengan Lipis merekodkan jumlah PPS paling banyak iaitu 29 buah.

Di Temerloh, terdapat 25 PPS, Jerantut (18), Raub (sembilan), Pekan (lapan), Bera (tujuh), Rompin (tujuh), Kuantan (enam) dan Maran (enam).


Banjir

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain