suria

Malaysia Tidak Import Beras Palsu - KKM

GAMBAR HIASAN

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan menafikan dakwaan bahawa Malaysia mengimport isu beras palsu seperti yang tersebar dalam media sosial sejak kebelakangan ini.

Dakwaan itu mengatakan bahawa beberapa jenis beras dengan jenama Kokeshi Rice, Kohinoor Basmati Rice dan NICR.RICE adalah beras palsu yang dihasilkan daripada plastik.

Menurut kementerian menerusi satu kenyataan rasmi, pihak Padi Beras Nasional Berhad (BERNAS) telah mengesahkan bahawa Malaysia tidak mengimport jenis beras dengan jenama terbabit.

Jelas kenyataan tersebut, hasil pemantauan Kementerian Kesihatan ke atas beras yang dijual di pasaran juga mendapati bahawa jenis beras dengan jenama terbabit yang didakwa dihasilkan daripada plastik tidak dijual di negara ini.

"Sepertimana yang telah dimaklumkan melalui kenyataan akhbar Kementerian Kesihatan pada 21 Mei 2015, beras yang diimport ke negara ini kebiasaannya adalah daripada negara Vietnam, Thailand dan Pakistan sebagaimana dimaklumkan oleh BERNAS. 

"Di samping itu, menurut BERNAS kesemua beras tersebut diimport secara pukal dan akan dibungkus di negara ini dalam pelbagai saiz bungkusan.

"Dengan penjelasan ini, orang ramai tidak perlu khuatir kerana aktiviti pemantauan dan penguatkuasaan keselamatan makanan sentiasa dijalankan bagi memastikan makanan di pasaran adalah selamat," tambah kementerian itu.

Sekiranya pengguna merasa ragu-ragu dengan status keselamatan sesuatu makanan di pasaran, pengguna boleh membuat aduan kepada Kementerian Kesihatan melalui Jabatan Kesihatan Negeri atau Pejabat Kesihatan Daerah terdekat atau melalui laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) www.facebook.com/bkkmhq.

KKM, Beras Palsu

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain