suria

CIA Maklum Saya Tidak Terlibat Isu BMF - Tun M

PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mempertahankan kenyataannya tidak terlibat dalam isu Bumiputera Malaysia Finance (BMF) dan pihak Agensi Perisikan Pusat (CIA) sedia maklum beliau tidak pernah terlibat secara langsung dengan skandal itu.

Menerusi blognya, Chedet.cc, Dr Mahathir berkata, makluman CIA itu tercatat pada halaman empat laporan CIA baru-baru ini dan agensi itu juga menyedari bahawa beliau, pada masa itu, bersetuju untuk mengambil tindakan berhubung perkara tersebut.

"Laporan CIA menjelaskan seawal Julai 1983, saya telah menyatakan pandangan bahawa pengendalian kewangan BMF dilakukan dengan kurang berkesan dan saya menggesa tindakan diambil sebaik siasatan selesai.

"Pandangannya berkaitan hal ehwal perbankan dan bukan kerajaan ini tercatat pada halaman tujuh laporan itu," katanya.

Minggu lalu, CIA mengeluarkan laporan sulit Bank Bumiputera Bhd dan anak syarikatnya, BMF pada 1980an dengan menyatakan skandal itu telah menjejaskan reputasi kerajaan ketika diterajui Dr Mahathir.

Posting blog Dr Mahathir pada Khamis memetik sebahagian laporan CIA yang menyebut: "Julai 1993: Mahathir mendedahkan dan mengakui tindakan BMF berurusan dengan pihak hartanah Hong Kong sesuatu yang tidak berkesan dan meminta tindakan diambil selepas siasatan selesai."

Beliau menambah, laporan itu juga menyebut, Jawatankuasa Siasatan Khas juga dibentuk pihak Malaysia untuk meneliti isu BMF.

"Rekod menunjukkan Jawatankuasa Siasatan Khas diketuai (bekas Ketua Audit Negara) Tan Sri Ahmad Nordin telah menyatakan beberapa saranan untuk tindakan lanjut.

Mahathir, BMF, CIA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain