suria

Timbalan Ketua Pengarah Jakoa Bebas Tuduhan Rasuah

KUALA LUMPUR: Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Kemajuan Orang Asli Malaysia (Jakoa) pada Jumaat dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini daripada tiga pertuduhan menerima rasuah bernilai RM74,600 daripada seorang ahli perniagaan, tujuh tahun lalu.

Hakim Allaudeen Ismail membebaskan Nisra Nisran Angit @ Asra Ramlan, 42, daripada pertuduhan itu tanpa memanggilnya membela diri selepas mendapati pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh pada akhir kes pendakwaan.

Allaudeen dalam penghakimannya berkata, saksi pendakwaan keenam iaitu Yusoff Othman memberi keterangan bercanggah menyebabkan kebolehpercayaan keterangannya ditolak oleh mahkamah.

Bagi pertuduhan pertama, Nisa Nisran didakwa menerima wang berjumlah RM34,600 daripada seorang ahli perniagaan iaitu Hamzah Sia melalui akaun pihak ketiga milik Yusoff Othman, yang mana tertuduh mengetahui bahawa syarikat milik dan dalam kawalan Hamzah ada hubungan dengan kerja-kerja rasminya.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Malayan Banking Berhad, Cawangan Ampang Park, Ampang Park Shopping Centre di sini, pada 6 Julai 2010.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, lelaki itu didakwa mendapat untuk dirinya wang masing-masing berjumlah RM20,000 daripada Hamzah melalui akaun bank pihak ketiga milik Yusoff, yang mana tertuduh mengetahui bahawa syarikat milik dan dalam kawalan Hamzah ada hubungan dengan kerja rasminya.

Nisra Nisran didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di Public Mutual Berhad, Blok B, Sri Damansara Business Park, Bandar Sri Damansara, di sini, pada 6 dan 17 Disember 2010.

Bagi kesemua pertuduhan, dia didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Seramai 16 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan dalam perbicaraan itu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Mahadi Abdul Jumaat, manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Hazman Ahmad dan Mohd Daud Ismail. - BERNAMA

Jakoa, dakwaan rasuah

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain