suria

Kerajaan Selangor Mohon Periksa Balas Pengerusi SPR

KUALA LUMPUR: Kerajaan Selangor memohon untuk memeriksa balas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah dalam tindakan perundangannya berhubung cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya bagi parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor.

Peguam Kanan Persekutuan Azizan Md Arshad memberitahu pemberita bahawa Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Azizul Azmi Adnan menetapkan 7 Februari untuk mendengar permohonan kerajaan negeri.

Beliau berkata kerajaan Selangor memohon untuk memeriksa balas pengerusi SPR itu berhubung isu 136,272 pengundi tanpa alamat.

Mahkamah, katanya, turut menetapkan Jumaat ini untuk mendengar permohonan bagi semakan kehakiman yang difailkan oleh kerajaan negeri yang diwakili Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk mencabar cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya bagi parlimen dan DUN di Selangor oleh SPR.

Azizan ditemui pemberita selepas kes itu dikemukakan di dalam kamar untuk pengurusan kes. Turut hadir, peguam Datuk S.Ambiga yang mewakili kerajaan negeri.

Dalam permohonan berkenaan, Mohamed Azmin memohon perisytiharan bahawa cadangan persempadanan semula itu, berdasarkan kajian SPR pada 2016, tidak mematuhi perlembagaan, tidak selaras dengan Fasal 2(c) dan 2(d) Perkara 113 (2) Jadual Ketiga Belas Perlembagaan Persekutuan, serta tidak sah dan terbatal.

Anggota Parlimen Gombak itu juga memohon mendapatkan perisytiharan bahawa kegagalan SPR menggunakan rang daftar pemilih terbaru dalam urusan persempadanan semula itu adalah melanggar perlembagaan, tidak selaras dengan Seksyen 3 Jadual Ketiga Belas Perlembagaan Persekutuan, dan oleh itu adalah tidak sah dan terbatal.

Mohamed Azmin memfailkan permohonan itu atas alasan SPR bertindak dengan tidak mengikut perlembagaan, tidak wajar dan tidak rasional berlandaskan Perkara 113(2) Perlembagaan Persekutuan.

Beliau juga memohon mendapatkan, antara lain, satu perisytiharan bahawa notis yang disiarkan tidak mempunyai butiran terperinci, di mana pemilih biasa, pihak berkuasa tempatan atau kerajaan negeri tidak boleh melaksanakan hak mereka untuk membuat representasi. - BERNAMA


SPR, kerajaan Selangor

Artikel Lain