suria

Hajat Adun Sg Air Tawar Tunai Umrah Bersama Isteri Tidak Kesampaian

Kamarol Zaki Abdul Malik.

SABAK BERNAM: Hajat Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Air Tawar Kamarol Zaki Abdul Malik untuk menunaikan umrah bersama-sama isterinya pada awal bulan depan tidak kesampaian apabila beliau ditemui meninggal dunia di kediamannya di sini, Selasa.

Anak sulungnya, Mohd Nasir, 32, berkata ibu bapanya dijangka mengerjakan ibadah umrah itu pada 2 Februari ini.

"Persiapan awal (untuk mengerjakan umrah) termasuk tiket untuk ke tanah suci juga telah ditempah tetapi nampaknya hajat itu tidak kesampaian," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Hospital Tengku Ampuan Jemaah di sini, Selasa.

Kamarol Zaki, 58, ditemui tidak sedarkan diri di ruang tamu kediamannya kira-kira 8 pagi tadi oleh pembantu khasnya, Mohd Sufaat Salimin.

Allahyarham sepatutnya menghadiri satu program di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan pada Selasa.

Mohd Nasir berkata beliau hanya mengetahui kematian bapanya apabila dimaklumkan oleh Mohd Sufaat pagi Isnin menerusi panggilan telefon.

Menurutnya kali terakhir beliau menemui bapanya dua minggu lepas ketika pulang ke rumah ibu bapanya di Jalan Haji Jabar, Kampung Sungai Air Tawar di sini.

Beliau berkata bapanya keseorangan di rumah pada Ahad lepas kerana ibunya mengunjungi rumah beliau di Puncak Alam, Kuala Selangor.

Mohd Nasir berkata bapanya tidak menunjukkan sebarang tanda sakit atau mengadu sakit sebelum ini.

"Sebelum ini, beliau hanya mengalami tekanan darah rendah tetapi tidaklah serius...kematiannya memang mengejutkan," katanya yang bekerja sebagai jurutera di sebuah syarikat swasta di Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, Mohd Nasir menyifatkan arwah bapanya seorang yang tegas dan mempunyai jiwa kepimpinan yang tinggi.

"Allahyarham juga seorang yang mesra rakyat...walaupun dia seorang ahli politik namun, dia tidak pernah memaksa kami empat beradik untuk mengikut jejak langkahnya sebagai ahli politik," katanya dalam nada sebak.

Rossimah Abbas, 56, pula menyifatkan pemergian suaminya sebagai satu kehilangan besar buat keluarganya dan memohon maaf bagi pihak Allahyarham sekiranya beliau ada melakukan kesilapan dengan mana-mana pihak atau individu.

Jenazah Kamarol Zaki masih berada di hospital untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematiannya.

Allahyarham dijangka disembahyangkan di Masjid Ar Rahmaniah, pekan Sungai Air Tawar sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Air Tawar petang Selasa.

Sementara itu, anggota keluarga terdekat Kamarol Zaki dan penduduk setempat dilihat berkumpul di perkarangan bilik mayat sementara menunggu proses bedah siasat selesai.

Turut hadir Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang hadir untuk menziarahi jenazah allahyarham.

Kamarol Zaki yang juga Timbalan Ketua Umno Bahagian Sabak Bernam dan Ketua Umno Cawangan Sungai Air Tawar, meninggalkan dua isteri iaitu Rossimah dan Faridah Abdul Jalil, 43.

Hasil perkahwinannya dengan Rossimah, mereka dikurniakan empat anak iaitu Mohd Nasir, Mohd Nazmi, 30, Mohd Naqib, 25, dan Muhammad Nukman, 20.

Pada pilihan raya umum lepas, Kamarol Zaki yang mewakili Barisan Nasional (BN) menewaskan calon PAS Wahid Rais dengan majoriti 1,416 undi. - BERNAMA

Artikel Lain