suria

Tindakan Akan Diambil Terhadap Kes Kedua Panjat 'Ipoh'

IPOH: Majlis Bandaraya Ipoh akan mengambil tindakan terhadap seorang lelaki yang memanjat papan tanda 'IPOH' di tepi Lebuhraya Utara Selatan di Simpang Pulai, sebaik sahaja polis menyelesaikan kes sekumpulan remaja yang membuat aksi serupa di Jalan Kuala Kangsar.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Zamri Man berkata pihaknya menghormati siasatan yang sedang dijalankan polis ke atas sekumpulan remaja terbabit sebelum membuat sebarang tindakan terhadap lelaki berkenaan.

"Saya tahu ini kes kedua, kita sudah buat laporan polis bagi kes pertama, kena hormat polis yang sedang buat siasatan.

"Jadi tidak sesuai untuk pihak kami membuat sebarang kenyataan mengenai insiden terbaharu," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.

Baru-baru ini, seorang lelaki memanjat dan berswafoto di atas papan tanda IPOH di tepi Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan di Simpang Pulai dan memuat naik gambar di laman sosial Instagram pada malam Sabtu.

Ini merupakan kejadian kedua selepas lapan remaja melakukan aksi sama dan ada antara mereka berbaring di dalam buaian yang dipasang pada kerangka yang menampung huruf-huruf besar pada ketinggian melebihi 20 meter di Jalan Kuala Kangsar awal bulan ini. - BERNAMA

Ipoh

Artikel Sebelum

Artikel Lain