suria

Ibu Didakwa Bunuh Anak Dua Tahun

KAJANG: Seorang ibu empat anak dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini, Isnin atas empat pertuduhan iaitu membunuh, menyebabkan cedera parah dan menganiaya tiga anak kandungnya termasuk sepasang kembar lelaki.

Tiada pengakuan direkodkan daripada Siti Nurraihan Ahmad, 24, bagi pertuduhan membunuh selepas ia dibacakan di hadapan Majistret Nor Afidah Idris.

Siti Nurraihan didakwa membunuh seorang daripada anak kembarnya, Muhammad Aqeel Arfan Abdullah, yang berusia dua tahun 11 bulan, di Aparment Teratai, Jalan Sutera 1/5, Taman Sutera, Hulu Langat di sini pada 12 tengah malam, 9 Januari lepas.

Bekas pembantu kafe itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang memperuntuk hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Wanita itu mengaku bersalah atas dua pertuduhan lain iaitu dengan sengaja menyebabkan cedera parah dan menganiaya seorang lagi anak kembarnya yang berusia dua tahun 11 bulan di alamat sama di antara Ogos 2016 dan Januari tahun ini.

Bagaimanapun, Siti Nurraihan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan keempat iaitu menganiaya bayi perempuannya yang berusia sembilan bulan di tempat dan tarikh sama.

Bagi kesalahan menyebabkan cedera parah, wanita itu didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan boleh juga didenda, jika sabit kesalahan.

Bagi kesalahan menganiaya, dia didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntuk hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Megat Mahathir Megat Tharih Afendi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 17 Mac untuk sebutan semula keempat-empat kes itu. - Bernama

Artikel Berikut

Artikel Lain