suria

Visa Kemasukan Pelajar Asing Diperketat

Idris Jusoh

BESUT: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan kerjasama Jabatan Imigresen, Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan memperketat syarat pemberian visa kemasukan pelajar asing ke negara ini.

Menterinya Datuk Seri Idris Jusoh berkata langkah berkenaan bagi memastikanpenuntut berkenaan tidak terlibat dan menyebarkan sebarang aktiviti keganasan khususnya melibatkan militan Daesh di negara ini.

"KPT tidak mengeluarkan visa kemasukan pelajar berkenaan ke negara ini kerana yang meluluskan adalah KDN dan Jabatan Imigresen. Cuma ia dilaksanakan di EMGS (Education Malaysia Global Services)... ada pegawai imigresen yang bertugas.

"Ini sebagai langkah  mengekang aktiviti keganasan dalam kalangan penuntut asing di negara ini," katanya kepada pemberita selepas Program Kelestarian Alam Sekitar Bersama Komuniti "Rawatan Air Menggunakan Mud Ball" di sini, Sabtu.

Baru-baru ini, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan penahanan tujuh lelaki pada 3 Nov hingga 16 Dis lepas kerana disyaki terlibat dengan aktiviti keganasan, dengan dua daripadanya adalah warga asing yang menuntut di Universiti Antarabangsa Al-Madinah (Mediu) di Shah Alam, Selangor.

Dua penuntut berkenaan telah disingkirkan daripada universiti berkenaan. 

Idris berkata KPT juga meningkatkan pemantauan terhadap pelajar Malaysia yang menuntut di luar negara bagi memastikan mereka juga tidak terlibat dalam aktiviti keganasan.

"Setakat ini kita belum lagi menerima sebarang laporan penglibatan pelajar kita di luar negara dalan aktiviti keganasan tetapi pemantauan secara berterusan dilakukan oleh para pegawai kita termasuk KDN dan imigresen," katanya.

Berhubung cadangan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang mahu sukatan subjek Akidah di Mediu dikaji semula dan ditambah baik, beliau berkata KPT perlu menunggu keputusan tersebut daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan MAIS.

"Ini dalam bidang kuasa MAIS dan kita masih menunggu keputusan daripada mereka sebab MQA tidak boleh buat sebarang buat keputusan tanpa persetujuan MAIS sama ada subjek berkenan ada kaitan dengan ajaran sesat atau tidak," katanya. -Bernama

Militan Daesh, pelajar asing, visa

Artikel Berikut

Artikel Lain