suria

Tuanku Abdul Halim Pencinta Haiwan

Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah (kanan) ketika Majlis Perasmian Temasya Sukan Sungai 2016 sempena perayaan ulang tahun keputeraan Sultan Kedah yang ke-88 di Tanjung Chali pada 26 Mac 2016. - BERNAMA

KUALA LUMPUR: Di sebalik kesibukan menggalas tanggungjawab sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 selama lima tahun, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah tetap meluangkan masa terhadap hobinya iaitu memelihara haiwan.

Puteri baginda, Tunku Soraya Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah berkata  kecintaan baginda itu dizahirkan dengan pembinaan sebuah mini zoo di Istana Anak Bukit, Alor Setar.

Mini zoo seluas 2.43 hektar itu menempatkan pelbagai jenis burung dan haiwan termasuk seekor mawas betina yang diakui Tunku Soraya sebagai haiwan kesayangan Tuanku Abdul Halim.

"Mawas tersebut yang dibela sejak kecil diberi nama Melati. Memang menjadi rutin setiap pagi dan petang Tuanku akan meluangkan masa kira-kira dua jam untuk melawat haiwan di mini zoo tersebut.

"Melati sudah dipelihara hampir 20 tahun," katanya dalam temu bual khas dengan Bernama di Istana Negara, dekat sini. 

Selain itu Tunku Soraya berkata ayahandanya turut memelihara pelbagai jenis ikan termasuk ikan koi.

"Tuanku juga selalu memberi makan sendiri ikan-ikan di kolam," katanya yang juga Raja Puan Muda Perak dan Yang Dipertua Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM) Kedah.

Minat mendalam baginda terhadap haiwan tidak terhad terhadap haiwan yang ditempatkan di mini zoo sahaja, malah baginda juga memelihara kucing jenis 'Maine Coon' yang bertubuh besar dan panjang.

Selain kecintaan baginda kepada haiwan, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah juga mempunyai minat mendalam terhadap buku ilmiah dengan kebanyakannya dibeli sendiri selain koleksi yang dihadiahkan kepada baginda.

"Tuanku suka membaca pelbagai jenis buku berkaitan pemimpin terulung antaranya Nelson Mendela, Tony Blair dan beberapa lagi buku biografi yang banyak tersusun dalam perpustakaan Tuanku," katanya.

Menyentuh mengenai pergaulan baginda, Tunku Soraya berkata sifat mesra Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah yang berusia 84 tahun itu, turut menjadikan ayahandanya itu disenangi rakyat dan kakitangan istana.

Katanya, baginda sangat menghargai setiap kakitangan yang berkhidmat dengannya.

"Tuanku akan memanggil nama pekerja istana dengan nama penuh. Tidak pernah Tuanku panggil dengan nama pendek, sebab Tuanku ingat nama pekerjanya.

Mengakhiri perbualan, Tunku Soraya berkata ayahandanya sentiasa mahukan yang terbaik untuk rakyat.

"Tuanku sentiasa prihatin kebajikan rakyat jelata," katanya.

Tuanku Abdul Halim

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain