suria

Tukar Agama: Undang-Undang Persekutuan Atas Negeri

KUALA LUMPUR: Pindaan Enakmen Pentadbiran Agama Islam 2006 oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis bagi membenarkan hanya seorang daripada ibu bapa untuk mengislamkan anak mereka adalah kuasa prerogatif negeri tersebut.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata mana-mana negeri boleh meluluskan undang-undang atau melakukan pindaan kepada mana-mana undang-undang yang sedia ada di bawah bidang kuasa mereka seperti dijelaskan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Bagaimanapun, katanya, undang-undang persekutuan mengatasi undang-undang negeri jika berlaku ketaktekalan.

Mengulas keputusan DUN Perlis itu semalam, katanya, Rang Undang-undang (RUU) yang dibentangkan oleh kerajaan bagi meminda Pindaan Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 (LRA), jika diluluskan, maka ia menjadi undang-undang Persekutuan.

"Perkara 75 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan mana-mana undang-undang yang tidak konsisten dengan undang-undang Persekutuan maka ia tidak terpakai dan undang-undang Persekutuan akan digunakan," katanya dalam kenyataan di sini, Jumaat.

Beliau berkata cadangan pindaan LRA, antara lain mewajibkan bagi kedua-dua ibu bapa memberi persetujuan sebelum anak mereka memeluk Islam, akan dibahaskan di Dewan Rakyat pada tahun depan.

"Cadangan pindaan kepada LRA juga mungkin memerlukan untuk pindaan perlembagaan yang merupakan Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan untuk menggantikan perkataan 'ibu atau bapa' kepada perkataan 'ibu dan bapa'," katanya.

Azalina berkata buat masa ini, terdapat tiga lagi enakmen negeri yang membenarkan kedua-dua ibu bapa memberikan kebenaran untuk menukar agama anak kepada Islam iaitu enakmen di Selangor, Pulau Pinang dan Terengganu.

Katanya, kerajaan komited untuk menyelesaikan isu berkenaan secara menyeluruh dan input daripada semua pihak akan dipertimbangkan.

"Saya harap semua pihak akan melihat cadangan pindaan itu secara objektif dan mengelak daripada mempolitikkanya untuk apa-apa sebab atau terlalu awal mengeluarkan sebarang kenyataan," katanya. - BERNAMA

Azalina Othman

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain