suria

Sepasang Kekasih Dipenjara Curi Seluar Jeans

KUALA LUMPUR: Sepasang kekasih masing-masing dipenjara tiga bulan dan lima hari oleh Mahkamah Majistret di sini, selepas mengaku bersalah mencuri tiga helai seluar jeans bernilai RM737.90.

Majistret Husna Dzulkifly menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan terhadap Mohd Romzi Ahmad Arshad, 38, yang mempunyai rekod lampau berkaitan kes curi pada 2015.

Teman wanitanya, Nor Asikin Md Yusoh, 23, pula dijatuhkan hukuman penjara lima hari dan denda RM1,500 atau penjara dua bulan.

Mahkamah memerintahkan kedua-dua tertuduh menjalani hukuman itu dari tarikh mereka ditangkap pada 7 Disember.

Kedua-dua mereka didakwa mencuri tiga helai seluar jeans di Butik Zara di Pavilion, Bukit Bintang, 9.45 malam, Rabu lalu mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda dan bagi kesalahan kali kedua atau seterusnya hendaklah dihukum penjara atau denda atau sebat.

Menurut fakta kes, Mohd Romzi mengambil tiga helai seluar jeans untuk mencuba di dalam bilik persalinan dan selepas beberapa minit, tertuduh keluar dari bilik berkenaan.

Kemudian tertuduh dan teman wanitanya yang keluar dari premis berkenaan dikejar oleh pekerja butik berkenaan dan mendapati tiga helai seluar jeans dan barang untuk memotong sensor (playar pemotong) bersama mereka.

Kedua-kedua tertuduh yang tidak diwakili peguam, merayu hukuman ringan, manakala Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Zikri Jaafar memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain