suria

Dua Lelaki Ditahan Acu Pisau Kepada Penguatkuasa MPSP

Gambar hiasan.

NIBONG TEBAL: Dua lelaki ditahan selepas mengacukan pisau ke arah penguatkuasa Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) kerana berang apabila buah-buahan jualan mereka dirampas pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Supt Shafee Abdul Samad berkata dalam kejadian pukul 9.35 pagi, dua lelaki berusia 28 dan 32 tahun itu menjual buah-buahan di kawasan berdekatan parkir motosikal di Pasar Awam Taman Berjaya, di sini.

"Dalam operasi penjaja haram itu, penguatkuasa telah memberitahu dua peniaga berkenaan yang kawasan berdekatan parkir motosikal tersebut adalah kawasan dilarang berniaga.

"Penguatkuasa MPSP itu kemudiannya terus bertindak merampas meja dan kerusi bernilai kira-kira RM140 yang digunakan untuk berniaga dan lelaki itu mempertikainya dan meminta penguatkuasa mengeluarkan borang untuk merampasnya," katanya di sini.

Beliau berkata penguatkuasa itu dikatakan tidak menghiraukannya dan terus memuatkan barang dirampas ke dalam lori.

Shafee berkata ketika lori itu mahu beredar dua lelaki berkenaan naik berang dan terus naik ke kenderaan MPSP tersebut dan cuba menurunkan barang mereka.

"Dalam masa yang sama dua lelaki itu bertindak memegang sebilah pisau berukuran kira-kira 30 sentimeter dan mengacukannya ke arah penguatkuasa MPSP dan memberi amaran kepada mereka," katanya.

Katanya tindakan pantas penguatkuasa MPSP bersama polis bantuan yang berada di situ sempat menahan dua lelaki itu sebelum menyerahkan mereka kepada polis.

Beliau berkata kedua-dua lelaki itu kini direman bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan bagi menakutkan penjawat awam daripada menjalankan tugas.

MPSP

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain