suria

Obesiti Masalah Kesihatan Orang Dewasa - Subra

SERDANG: Seorang daripada dua orang dewasa Malaysia mempunyai berat badan berlebihan atau mengalami obes, dengan bilangannya meningkat empat kali ganda sejak 20 tahun lalu.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata, rakyat Malaysia berhadapan dengan masalah kesihatan akibat gaya hidup tidak sihat.

"Kajian morbiditi dan kesihatan kebangsaan menunjukkan obesiti dihadapi sebahagian rakyat Malaysia yang berusia 18 tahun ke atas, dengan bilangannya meningkat secara mendadak.

"Bilangan kes obesiti pada 1996 adalah 4.4 peratus (daripada populasi), kini meningkat kepada 14 peratus pada 2016.

"Ia meningkat kepada 15.1 peratus pada 2011 dan 17.7 peratus tahun lalu," katanya ketika berucap pada perasmian Kempen Makan Buah dan Sayur di Pameran Antarabangsa Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan (Maha) di sini, Selasa.

Beliau menambah, kira-kira 30.3 peratus orang dewasa mengalami masalah berat badan.

"Secara keseluruhan, satu daripada dua orang dewasa Malaysia mengalami berat badan berlebihan atau satu dalam lima orang adalah obes.

"Pada 2015, hampir separuh orang dewasa Malaysia atau 47.7 peratus mengalami kolestrol tinggi atau hypercholesterolemia," katanya.

Dr Subramaniam berkata, gaya hidup tidak sihat turut mengakibatkan bilangan kes diabetis di Malaysia meningkat sejak 1996.

Kajian turut mendedahkan kes diabetis meningkat dari 11.6 peratus pada 1996 kepada 15.2 peratus pada 2006 dan 17.5 peratus tahun lalu.

Bagaimanapun katanya, terdapat penurunan bagi kes hipertensi dari 32.2 peratus pada 1996 kepada 32.7 peratus pada 2006 dan 30.3 peratus tahun lalu.

Artikel Lain