suria

TN50 Wawasan Oleh Rakyat Untuk Rakyat – KJ

PETALING JAYA: Transformasi Nasional 2050 (TN50) yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bukan pengganti tetapi kesinambungan Wawasan 2020 yang digarap oleh rakyat untuk rakyat.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, Wawasan 2020 masih diteruskan sehingga tahun berkenaan tetapi bukan bermakna negara tidak boleh mempunyai wawasan lain untuk 30 tahun akan datang.

“Kita perlu ke hadapan, tidak boleh berhenti pada 2020 dan tak ada wawasan lagi. Perdana Menteri mahu ia menjadi wawasan oleh rakyat untuk rakyat.

“Beliau (Najib) mahu proses itu mempunyai pemilikan semua orang, tidak hanya sesuatu yang diputuskan kerajaan,” katanya dalam wawancara bersama The Star menjelang Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2016 yang bakal berlangsung mulai 29 November hingga 3 Disember ini.

Kementerian Belia dan Sukan akan melaksanakan dua fasa bagi menyediakan input awal TN50 sebelum ia diumumkan beberapa tahun akan datang.

Khairy menganggap pemilihan kementeriannya untuk melaksanakan fasa pertama TN50 sebagai penghormatan besar.

Tambahnya, usaha mengumpul input akan bermula tahun depan dan dijadualkan selesai dalam tempoh 18 bulan.

Menurut Khairy, fasa pertama membabitkan proses konsultasi untuk mendapatkan pandangan anak muda melalui kaedah bersemuka.

Bagaimanapun Khairy memberitahu, ia tidak sekadar tertumpu kepada maklum balas dan sudah tentu membosankan sekiranya melibatkan sesi dialog.

“Jadi, saya fikirkan perkara lain seperti pertandingan esei untuk pelajar sekolah di mana mereka boleh menulis apa yang mereka gambarkan Malaysia pada 2050, manakala di peringkat universiti, kita akan anjurkan pertandingan bahas.

“Kita juga mengadakan pertandingan filem pendek di mana pengarah muda akan membawa kita melalui Kuala Lumpur dalam 2050. Pelukis juga boleh menafsir mengenai Malaysia pada 2050 menerusi lukisan,” katanya.

 
 
KJ, TN50, Wawasan 2020

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain