suria

HSA Terima Sumbangan PBSM

Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah mendengar penerangan daripada Eksekutif Jualan Globalmed Sdn Bhd Robin Ho (kanan) ketika melihat penggunaan katil di wad ICU selepas berkenan menyempurnakan kurniaan Peralatan Perubatan Kepada Hospital Sultanah Aminah (HSA) di Poliklinik HSA pada Ahad. -fotoBERNAMA

JOHOR BARU: Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) pada Ahad menyumbangkan RM462,000 kepada Hospital Sultanah Aminah (HSA) bagi membantu membeli peralatan perubatan di hospital itu susulan kejadian kebakaran di wad Unit Rawatan Rapi pada Oktober lepas.

Sumbangan itu adalah hasil inisiatif PBSM yang mengumpulkan derma daripada syarikat dan individu melalui akaun Jawatankuasa Khidmat Masyarakat PBSM yang dilancarkan sejak tragedi itu berlaku.

Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah, yang juga Penasihat Diraja PBSM, bertitah sumbangan itu nanti akan digunakan untuk membeli peralatan perubatan serta katil-katil baharu di unit terbabit.

"MRC (Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia) sebagai badan sokongan kerajaan akan sentiasa berusaha membantu kelancaran perkhidmatan di HSA.

"MRC tidak bercadang untuk mengambil alih atau menggalas tanggungjawab kerajaan tetapi usaha MRC menjurus untuk membantu kepada kelancaran perkhidmatan seperti perkhidmatan perubatan di HSA," titah baginda sempena Majlis Pengurniaan Peralatan Perubatan HSA di sini hari ini.

Turut berangkat, Tunku Temenggong Johor; Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim dan isteri Tunku Mahkota Johor, Che Puan Khaleeda Bustamam.

Raja Zarith Sofiah bertitah walaupun banyak lagi keperluan peralatan hospital diperlukan, namun sumbangan ini diharap dapat meringankan beban pihak yang terlibat.

Sementara itu, seorang daripada penderma sumbangan tersebut, Amira Syazwana Abd Razak, 31, berkata dia memperoleh RM2,700 daripada keluarga dan rakan-rakan yang simpati akan nasib HSA.

Tambahnya, dia sanggup berbuat demikian kerana beliau mempunyai banyak kenangan di HSA dan terutama apabila arwah datuk saudaranya meninggal dunia di unit terbabit.

Kebakaran pada 25 Okt itu meragut nyawa enam pesakit dan mencederakan empat yang lain iaitu tiga jururawat dan seorang pelatih fisioterapi.

HSA, PBSM

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain