suria

PKP Minta PLUS Kaji Perjalanan Melebihi Tempoh

Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) yang mengurus Lebuhraya Utara-Selatan digesa memperhalusi semula kadar caj Perjalanan Melebihi Tempoh Yang Ditetapkan (LJT) dengan menitikberatkan soal keselamatan dan rehat yang perlu kepada pemandu.

Yang Dipertua Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur (PKP) Samsudin Mohamad Fauzi berkata, PLUS seharusnya lebih prihatin akan keselamatan dan keselesaan pengguna lebuh raya dengan tidak hanya mewujudkan pelbagai jenis bayaran lagi kerana pengguna sememangnya mempunyai kurang pilihan selain menggunakan lebuh raya PLUS.

"Kami melahirkan rasa kerisauan kerana keadaan ini akan menimbulkan situasi kelam-kabut kepada pemandu yang akan mula memandu secara melulu sekiranya pemandu terlebih tidur atau terlebih rehat di kawasan rehat dan rawat (RNR) bagi mengelakkan caj denda ini sekaligus akan membahayakan dirinya dan juga pengguna jalan raya yang lain," katanya dalam satu kenyataan kepada Bernama di sini.

PLUS dalam satu kenyataan berkata LJT akan dikenakan kepada pengguna lebuh raya yang gagal memberi alasan munasabah apabila didapati melebihi tempoh perjalanan ditetapkan.

Ia sebagai respons terhadap kenyataan yang dimuat naik seorang pengguna Facebook, Damar Wulan yang menjadi viral selepas mendakwa dikenakan bayaran tambahan sebanyak RM6.40 ketika menggunakan lebuh raya PLUS antara Gurun dan Pendang. Damar Wulan difahamkan berehat di R and R Gurun selama sejam 30 minit.

PLUS berkata, langkah berkenaan diambil bagi mengatasi kegiatan manipulasi kad transit tol di beberapa laluan yang dikenal pasti di lebuh raya kendalian PLUS.

Sementara itu, Samsudin menyarankan PLUS mencari formula lain yang lebih efektif dalam mencari sasaran mereka yang melakukan pertukaran tiket daripada mengambil jalan mudah menjadikan semua pengguna terbeban.

Samsudin juga berkata PLUS sebaliknya perlu memberikan rebat kepada pengguna lebuh raya yang sering kali berada dalam kesesakan yang berpunca daripada projek menaik taraf atau pembaikan.

"Pernahkah pihak PLUS memikirkan berapa ramai pula pengguna yang mengalami kerugian mahupun daripada sudut masa, penggunaan bahan bakar, penyelenggaraan kenderaan ataupun mereka yang hilang peluang perniagaan atau keuntungan akibat tersangkut dalam kesesakan ini," katanya.

Oleh yang demikian katanya PKP menggesa pihak Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) segera mengarahkan PLUS membatalkan denda ini dan tidak menimbangkan alasan PLUS.

PKP berpendirian sekiranya PLUS masih mahu meneruskan caj LJT, pihak PLUS perlu mengeluarkan jadual masa perjalanan waktu yang sepatutnya pengguna boleh sampai ke destinasi.

"Sekiranya pengguna gagal sampai dalam tempoh tersebut akibat kesesakan di lebuh raya maka pengguna itu juga berhak menuntut rebat atau ganti rugi daripada pihak PLUS," katanya. - BERNAMA

PLUS

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain