suria

DAP Perlu Lebih Sensitif - PAS

KOTA BHARU: DAP perlu bersikap lebih sensitif terhadap hubungan antara agama bagi mengelak keharmonian antara kaum terganggu, kata Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Mohd Amar berkata DAP sering meminta orang Islam menghormati agama lain, namun pada masa sama parti itu bertindak sebaliknya dengan mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang mengguris hati umat Islam di negara ini.

"Pandangan saya ialah DAP sepatutnya lebih sensitif dengan perasaan orang Islam sebab banyak isu kita perhatikan pimpinan DAP ini tidak sensitif.

"Mereka minta supaya kita orang Islam menghormati mereka dan agama lain tapi sikap mereka sendiri tak sensitif dengan orang Islam. Jadi ini sikap yang tidak baik dan boleh menjejaskan keharmonian dalam hubungan masyarakat dan agama," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Kompleks Kota Darul Naim di sini, Rabu.

Mohd Amar mengulas mengenai kenyataan biadab anggota Parlimen Jelutong Jeff Ooi kerana menerusi twitternya telah menghina pemergian Mursyidul Am PAS Allahyarham Datuk Dr Haron Din.

Mohd Amar berkata walaupun PAS dan DAP berbeza fahaman politik dan akidah, namun kedua-dua parti perlu mengutamakan prinsip menghormati antara satu sama lain dan menggesa Ooi agar membuat permohonan maaf secara terbuka. - BERNAMA

PAS, DAP

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain