suria

Galeri Ketua Polis Negara Dilancar

Anggota polis wanita menggayakan pakaian seragam lama dari tahun 1948 hingga 1990 di Galeri Ketua Polis Negara. -fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar melancarkan Galeri Ketua Polis Negara di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman sebagai penghargaan kepada semua Ketua Polis Negara sepanjang tempoh berkhidmat dalam pasukan itu.

Beliau berkata galeri itu ditempatkan di bangunan bersejarah di kawasan Bukit Aman iaitu Bangunan PWD 68 yang dibina seawal abad ke-19.

"Dengan penubuhan galeri ini, pengkaji sejarah boleh melakukan kajian baharu tentang sembilan bekas Ketua Polis Negara yang pertama sehingga kini kerana apa yang dipamerkan di dalam galeri ini tidak kesemuanya boleh diperoleh melalui kecanggihan pencarian maklumat di hujung jari," katanya pada sidang media selepas melancarkan galeri berkenaan di sini, Isnin.

Khalid berkata galeri itu turut mempamerkan bahan-bahan sejarah semua Ketua Polis Negara termasuk anugerah, cenderamata yang diterima selain menyediakan kemudahan penyimpanan, rujukan dan penyelidikan mengenai era pentadbiran Ketua Polis Negara.

Menurutnya penubuhan galeri berkenaan dicadangkan Ketua Polis Negara kesembilan Tan Sri Ismail Omar.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pengurusan PDRM Bukit Aman Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata galeri berkenaan dibuka setiap hari kepada orang awam.

Galeri Ketua Polis Negara

Artikel Sebelum

Artikel Lain