suria

16 Lelaki Termasuk Seorang Pegawai Bank Ditahan Main Judi

IPOH: Seramai 16 lelaki termasuk seorang pegawai Bank ditahan ketika sedang berjudi dalam kawasan kelapa sawit di Jalan Ampang-Tambun  berdekatan Iskandar Polo Club, di sini, pada 19 Ogos lepas.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Sum Chang Keong berkata kesemua yang ditahan berumur antara 50 hingga 70 tahun itu sedang leka bermain judi jenis dadu ketika serbuan dilakukan pada 12 tengah hari itu.

"Walaupun mereka cuba melarikan diri, polis berjaya menahan kesemua suspek dan salah seorang daripada mereka merupakan pegawai bank yang beralamat di Pulau Pinang. 

"Polis turut merampas 26 jenis barang termasuk wang tunai berjumlah RM19,800, cip pelbagai nilai dan walkie-talkie," katanya kepada pemberita dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di sini, Khamis.

Sum berkata kes disiasat di bawah Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka jikasabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda RM5,000 atau enam bulan penjara atau kedua-duanya.

Sementara itu, dalam kes berlainan, Sum berkata pihaknya menahan tujuh lelaki dalam serbuan berbeza selepas terlibat dalam kes kecurian 15 komputer riba jenama Asus milik sebuah sekolah di sini pada 25 Julai lalu.

Beliau berkata daripada 15 komputer riba yang dicuri itu, polis berjaya menemukan semula 14 komputer riba selepas menahan kesemua suspek termasuk seorang pembeli yang menyerahkan diri kepada polis.

Tangkapan dilakukan di sekitar Perak pada 25, 26 dan 27 Julai lepas, katanya.

"Selepas mendapat laporan yang dibuat oleh guru sekolah berkenaan polis segera menjalankan siasatan dan menahan tujuh lelaki dalam tangkapan berasingan.

"Enam yang ditahan dipercayai anggota kumpulan ‘Geng Pak Lang’ yang berumur antara 19 hingga 62 tahun yang mana kesemua mereka mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau antaranya berkaitan senjata api, dadah, pecah rumah dan samun," katanya.

Beliau berkata daripada tujuh yang ditahan itu empat telah dituduh, seorang dijadikan saksi pendakwaan manakala dua lagi dibebaskan atas arahan Pengarah Pendakwaan negeri. Sum berkata kumpulan terbabit dipercayai bergerak aktif sejak setahun laludan kes disiasat di bawah Seksyen 407 Kanun Keseksaan. -Bernama

Judi, Pegawai Bank

Artikel Berikut

Artikel Lain