suria

Ratusan Ribu Jemaah Haji Bakal Manfaat Perkhidmatan Rel MMMSL

KUALA LUMPUR: Perkhidmatan rel Al Mashaaer Al Mugaddassah Makkah Metro Southern Line (MMMSL) bakal memberi khidmat kepada ratusan ribu jemaah haji di Makkah.

Konsul Jeneral Malaysia di Jeddah, Mohammad Ali Selamat berkata Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) giat melakukan persiapan bagi memastikan perkhidmatan rel itu bagi tahun kedua operasinya berjalan lancar.

"Dengan pengalaman yang sedia ada dan doa seluruh rakyat Malaysia, saya yakin operasi tahun ini berjalan lancar dan lebih mantap daripada apa yang dilaksanakan tahun lepas.

"Saya berharap seluruh warga kerja MMMSL khususnya daripada Prasarana sendiri akan memberikan komitmen penuh kepada operasi ini kerana ia bukan sahaja penting untuk keselesaan jemaah tetapi untuk mengharumkan nama negara," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Mohammad Ali dan Pesuruhjaya Perdagangan Malaysia di Arab Saudi, Khairul Annuar Abdul Halim serta pegawai tinggi pejabat Kedutaan Malaysia di Arab Saudi turut melawat operasi syarikat terbabit.

MMMSL akan beroperasi selama tujuh hari khusus untuk musim haji namun kerja-kerja penyelenggaraan dan ujian untuk tren serta sistem berjalan sepanjang tahun mengikut jadual kerja yang ditetapkan kerajaan Arab Saudi.

Berdasarkan lokasi penempatan jemaah yang ditetapkan mengikut negara, Perkhidmatan MMMSL akan digunakan sepenuhnya oleh jemaah dari negara Teluk dan Asia Selatan.

Untuk musim haji tahun ini, kerja-kerja percubaan operasi sepenuh masa 24 jam sehari sedang giat berjalan sejak 9 Julai lepas dan akan berakhir pada 5 Sept sebelum operasi sebenar bermula pada 7 Sept, kata kenyataan itu.

Sementara itu Pengarah Projek MMMSL, Ahmad Jamaluddin Salleh berkata pihaknya sudah bersedia untuk memberikan perkhidmatan yang lebih mantap pada musim haji kali ini.

Katanya persiapan untuk tahun ini telah bermula sebaik sahaja musim haji tahu lepas berakhir di mana MMMSL dapat melaksanakan tanggungjawab yang diberikan Kementerian Hal Ehwal Perbandaran dan Luar Bandar Arab Saudi dengan jayanya.

"Berbeza dengan tahun lepas, MMMSL kini diletakkan di bawah pengawasan Lembaga Pembangunan Mekah (MDA) yang telah memberikan kerjasama yang amat baik dan komitmen tinggi bagi memastikan projek ini berjaya, katanya.

Rel MMS

Artikel Lain