suria

Jangan Buat Spekulasi Gejala Rasuah Di Melaka - Ketua Menteri

Idris Haron.

MELAKA: Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron meminta orang ramai terutama penduduk Melaka agar tidak membuat sebarang spekulasi tentang gejala rasuah di negeri ini.

Beliau berkata, mereka sebaliknya hendaklah menyokong usaha kerajaan negeri dalam membendung gejala tersebut.  

Sehubungan itu, katanya, semua pihak diminta memberi kerjasama kepada pihak berkuasa terutama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam melakukan siasatan terhadap gejala rasuah dan seterusnya memastikan kerajaan negeri dapat memberikan perkhidmatan berintegriti kepada rakyat. 

"Jika sahih ada berlaku pengamalan rasuah saya tidak akan mengizinkan pegawai seperti ini ditempatkan di Melaka.  

"Kerajaan negeri serius menangani isu rasuah di negeri ini kerana kita mahukan kerajaan yang berintegriti dan bermaruah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Perhimpunan Bulanan Kerajaan Negeri Melaka dianjurkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka di sini, Isnin.

Idris mengulas penahanan seorang pegawai kanan kerajaan yang bertugas di negeri ini bergelar 'Datuk' 15 Ogos lepas bagi membantu siasatan kes rasuah. 

Beliau berkata, kerajaan negeri juga sentiasa mengadakan program kerjasama dengan SPRM bagi membendung gejala rasuah di negeri ini. - Bernama

Idris Haron

Artikel Lain