suria

Pendakwah Dipenjara Dua Tahun Kerana Miliki Bahan Berkaitan Pengganas

KUALA LUMPUR: Seorang pendakwah dijatuhi hukuman penjara dua tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki bahan-bahan berkaitan dengan aktiviti kumpulan pengganas, Mac lepas.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Nordin Hassan memerintahkan tertuduh, Anwar Ab Rawi dari Kuala Terengganu, menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh  tangkap pada 22 Mac 2016.

Nordin berkata, mahkamah serius dalam menangani masalah berkaitan keganasan dan tidak mahu ia berlaku di negara ini kerana boleh mendatangkan keburukan.

"Dari peringkat awal perkara ini perlu dihindari, caranya melalui hukuman  yang diberikan, supaya setiap pelaku dapat rasakan seriusnya mahkamah tangani keganasan," katanya.

Anwar dituduh memiliki sebuah buku bertajuk 'Misteri Pasukan Panji Hitam'  (Rahsia Thaifah Manahumah-Kumpulan Elit Pasukan Islam) dan empat imej gambar di dalam telefon bimbitnya di sebuah rumah beralamat Lot 12389, Taman Manir Indah, Kampung Banggol Tuan Muda, Kuala Terengganu, pada 8.48 pagi, 22 Mac 2016.

Kesemua itu merupakan item berunsur perbuatan keganasan dan berkaitan dengan kumpulan pengganas iaitu kumpulan pengganas Jemaah Islamiyah (JI), Al Qaeda (AQ) dan Daesh.

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang  memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan boleh dilucut hak mana-mana item tersebut. 

Mengikut fakta kes, Anwar ditahan sepasukan anggota polis ketika berada di rumahnya dan hasil pemeriksaan polis menemui sebuah buku dan empat imej gambar di dalam telefon bimbitnya.

Kesemua bahan yang ditemui itu disahkan mempunyai kaitan dengan kumpulan  pengganas oleh seorang pakar berkenaan kajian kumpulan pengganas termasuk kajian terhadap bahan serta material berunsur keganasan oleh Prof Dr Rohan Gunaratna dari Singapura.

Menurut Rohan, penemuan imej dan video berunsur keganasan dan berkait  kumpulan pengganas itu menunjukkan tertuduh merupakan seorang penyokong kepada ideologi keganasan.

Peguam Saiffuddin Othman yang mewakili tertuduh berkata pengakuan salah anak guamnya menunjukkan dia telah insaf manakala Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P. Kunyalam memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran.

Anwar sebelum ini didakwa di Mahkamah Majistret Kemaman pada 19 April 2016.-- Bernama


Artikel Lain