suria

Kerajaan Rayu Keputusan Bebas 'Gadis Belon'

PETALING JAYA: Kerajaan memfailkan rayuan terhadap keputusan mahkamah membebaskan penari, Bilqis Hijjas daripada tuduhan menghina dengan melepaskan belon kuning pada majlis yang dihadiri perdana menteri dan isteri, Ogos tahun lalu.

Satu laporan dalam talian menyatakan salinan notis rayuan telah dihantar kepada Bilqis.

Pada 1 Julai, Majistret Mohd Faizal Ismail membebaskan Bilqis Hijjas, 37, tanpa memanggilnya membela diri terhadap pertuduhan itu selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh di akhir kes pendakwaan.

"Selepas meneliti keterangan dan hujahan pihak pendakwaan dan pembelaan,serta penilaian yang maksimum, mahkamah memutuskan tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan.

"Mahkamah percaya elemen seperti menghina, membangkitkan kemarahan dan keamanan mungkin terganggu, gagal dibuktikan oleh pihak pendakwaan," kata Mohd Faizal.

Pada Hari Kebangsaan 31 Ogos tahun lepas, tujuh belon kuning dilepaskan dari tingkat lima di pusat beli-belah itu sewaktu Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor menonton persembahan tarian pembukaan acara DiverseCity 2015: Festival Kesenian Antarabangsa Kuala Lumpur.

Belon-belon kuning yang dilepaskan itu antaranya tertera perkataan 'Democracy', 'Free media' dan 'Justice' berwarna hitam telah jatuh ke belakang skrin di aras dua.

Gadis Belon, Bilqis Hijjas

Artikel Lain