suria

Enam Langkah Proaktif Perangi Ancaman Daesh

KLUANG: Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah melakar enam langkah proaktif bagi memerangi ancaman militan Daesh di negara ini.

Menteri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata langkah tersebut ialah mengetatkan kawalan di sempadan negara, menerusi inisiatif terbaru melalui penubuhan Briged sempadan di Sabah dan Sarawak. 

"Langkah lain ialah mengadakan rondaan bersama ATM-Polis Diraja Malaysia (PDRM) di lokasi strategik seluruh negara. 

"Memperkukuhkan kawalan keselamatan di laut Sulu yang membabitkan tiganegara jiran serta memperkasakan keselamatan di Sabah melibatkan ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM - Darat, Laut dan Udara," katanya.  

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Ria Aidilfitri Parlimen Sembrong di Dewan Kejora, Taman Sri Lambak dekat sini hari ini yang turut dihadiri Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. 

Hishammuddin berkata penerangan mengenai bahaya Daesh kepada masyarakat akanjuga dilakukan oleh pihak Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT) dan juga kerjasama dari perkongsian maklumat risikan pertahanan antara negara dan lain-lain.

Menteri itu berkata beliau meletakkan harapan dan amanah besar kepada KAGAT untuk memberi penjelasan dan melakukan pendekatan bagi menyekat fahaman Daesh daripada menular di kalangan anggota ATM sendiri menerusi perkongsian strategi yang sedang giat dilakukan oleh Kementerian Dalam Negeri dan PDRM. 

Beliau berkata penglibatan seorang anggota keselamatan dengan Daesh walaupun seorang telah dikira banyak kerana mereka telah diberikan amanah dan tanggungjawab oleh negara.

Hishammuddin berkata insiden di Puchong baru-baru ini mempunyai kaitan rapat dengan Daesh dan langkah berjaga-jaga yang diingatkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam mempunyai asas dan sebab tertentu. 

Najib mahu semua pihak meningkatkan kesedaran dalam soal keselamatan dengan mengkaji semula langkah-langkah kesiapsiagaan yang lebih tinggi termasuk menghadapi ancaman militan Daesh. 

"Oleh itu, kita tidak boleh ambil mudah ancaman ini dan pada masa yang sama perlu bersyukur dan memahami keharmonian dan perpaduan yang telah wujud selamaini," kata Hishammuddin. 

Beliau berkata sebagai contoh majlis sambutan hari raya pada hari ini menggambarkan keharmonian yang sedia ada dan ini boleh diancam sekiranya keselamatan negara ini tidak dijaga dengan baik.

"Bagi mengatasi masalah ini selain usaha yang dilakukan oleh kerajaan, rakyat juga perlu memainkan peranan mereka sebagai mata dan telinga kepada kerajaan," kata beliau. 

Katanya pihaknya sentiasa mengambil langkah dan persediaan awal bagi mengatasi ancaman Daesh dan usaha yang dilakukan bukan sahaja dari segi mencapai kesepakatan di peringkat negara Asean sebaliknya memperkukuhkan kekuatan anggota, aset dan juga strategi pertahanan. 

Menjawab pertanyaan, Hishammuddin berkata sehingga hari ini pihak berkuasamenerusi agensi risikan negara mampu melihat perkara yang telah biasa dan perkara yang baru menular di negara lain yang boleh dipelajari dengan mengambil tindakan yang sewajarnya. 

"Namun jika berlaku tindakan yang tidak terfikir orang, mustahil untukmana-mana negara sekalipun menjangka dan membuat perancangan bagi mengatasi perkara itu seratus peratus," katanya. -Bernama

Daesh, Hishammuddin

Artikel Sebelum

Artikel Lain