suria

24 Peniaga Ayam Di Kelantan Berdepan Tindakan Mahkamah - KPDNKK

Ketua Unit Anti Pencatutan KPDNKK Kelantan, Shamsuri Hamzah (kanan) membuat pemantauan harga seekor ayam kepada seorang peniaga ketika meninjau harga ayam di Pasar Besar Siti Khadijah baru-baru ini. -fotoBERNAMA

KOTA BARU: Seramai 24 peniaga ayam di Kelantan akan dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini pada 12 September depan atas kesalahan mencatut iaitu mengenakan harga ayam yang melampau pada perayaan Aidilfitri ini.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kelantan Datuk Ab Ghani Harun berkata kes berkenaan dikesan hasil pemeriksaan harian selama dua minggu bermula 9 Julai dan berakhir semalam.

"Peniaga yang terbabit kebanyakannya di Pasar Siti Khadijah selain beberapa pasar lain termasuk Pasar Chabang Tiga Pengkalan Chepa.

"Mereka bukan hanya mengenakan harga yang melampau tetapi juga bersikap biadap kepada pelanggan," katanya kepada pemberita di Majlis Hari Terbuka dan Sambutan Aidilfitri Bersama Friends Of KPDNKK Negeri Kelantan di sini, Ahad.

Turut hadir Ketua Polis Kelantan Datuk Dr Ab Rahman Ismail.

Sepanjang perayaan Aidilfitri lepas, harga ayam di negeri ini dilaporkan dijual secara terus kepada pengguna tanpa ditimbang sehingga mencecah RM30 seekor berbanding harga kawalan RM7.90 sekilogram.

Ab Ghani berkata peniaga berkenaan akan didakwa mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 yang memperuntukan denda tidak melebihi RM100,000 dan bagi kesalahan kali kedua atau berikutnya didenda tidak melebihi RM250,000, jika sabit kesalahan.

Dalam pada itu, Ab Ghani berkata harga ayam di negeri ini telah kembali normal dengan harga jualan sekitar RM8 sekilogram.

Beliau berkata terdapat 207 ladang ternakan ayam telah dikenal pasti, selain 80 premis pemprosesan ayam dan 756 peruncit yang beroperasi di negeri ini.

"Kita akan buat pemantauan berterusan bagi mengenalpasti senario semasa pasaran ayam di negeri ini," katanya.

Dalam perkembangan lain, Ab Ghani berkata bermula 1 Jan hingga 23 Julai lepas, sejumlah 465 kes membabitkan pelbagai kesalahan dikesan dengan nilai kompaun berjumlah RM62,000.

KPDNKK, Anti Pencatutan

Artikel Lain