suria

JPJ Sita Hampir 2,000 Kereta Klon Di Seluruh Negara

MELAKA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyita hampir 2,000 kereta klon di seluruh negara dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini dan sebanyak 28 kes berkaitan kereta klon telah diselesaikan selepas ia dirujuk di mahkamah.

Ketua Pengarah JPJ Datuk Seri Ismail Ahmad berkata JPJ secara konsisten terus menjejaki sindiket kereta klon di negara ini dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Polis Diraja Malaysia dalam pelbagai operasi yang dijalankan.

Beliau berkata kebanyakan kereta klon yang dikesan di negara ini adalah dari Singapura dan usaha bagi mengekang kegiatan itu sedang dipertingkatkan pihaknya.

"Sindiket kereta klon adalah satu jenyah yang agak sukar dibanteras, namun setakat ini kita telah berjaya menumpaskan dua sindiket kereta klon dan kita yakin saki-baki mereka akan dapat ditumpas sedikit masa lagi.

"Antara usaha yang dilaksanakan bagi membanteras sindiket tersebut ialah melalui pelaksanaan Sijil Pemilikan Kenderaan (VOC) bermula 1 Jun lepas dan Sistem Permit Kemasukan Kenderaan (VEP) yang dijangka bermula 1 Jan tahun hadapan," katanya kepada pemberita selepas majlis iftar nur Ramadan Ketua Pengarah JPJ bersama kakitangan JPJ negeri Melaka, di sini.

Pada majlis tersebut beliau turut menyampaikan sumbangan kepada lebih 30 anak yatim bagi membantu meringankan beban mereka membuat persiapan Aidilfitri.

Mengulas lanjut, Ismail berkata pelaksanaan VOC bagi menggantikan Kad Pendaftaran Kenderaan (RC) yang telah dilaksanakan secara berperingkat itu dapat melancarkan sistem penyampaian perkhidmatan melalui transaksi dalam talian JPJ secara menyeluruh dan semua maklumat pemilik kenderaan dapat diakses dalam sistem pengkalan JPJ dengan lebih berkesan.

"Pelaksanaan VOC ini adalah satu kaedah untuk mencegah sindiket daripada menggunakan RC bagi melakukan aktiviti kereta klon berkenaan," katanya.

Beliau berkata selain itu, VEP akan dilaksanakan di sempadan negara jiran antaranya Singapura, Thailand dan Indonesia secara efektif agar kemasukan kereta klon di negara ini dapat dibanteras sepenuhnya.

Sementara itu, katanya JPJ memberi perhatian serius dan akan mengambil tindakan tegas dalam kalangan anggotanya sekiranya mereka didapati terlibat dalam sindiket kereta klon di negara ini.

"Setakat ini, belum ada mana-mana anggota terlibat tetapi pemantauan dan pemerhatian terhadap isu ini akan sentiasa dilakukan," katanya.

Kereta Klon

Artikel Lain