suria

Dollah Kok Lanas Meninggal Dunia Pada Usia 83 Tahun

PETALING JAYA: Bekas Setiausaha Politik Tun Razak Hussein yang juga bekas Ketua Pengarang Kumpulan NSTP, Tan Sri Abdullah Ahmad atau lebih dikenali sebagai Dollah Kok Lanas (DKL) meninggal dunia pada jam 1.40 petang Ahad.

Beliau menghembus nafas terakhir pada usia 83 tahun di Hospital Pantai Kuala Lumpur akibat kanser.

Menurut isteri Allahyarham, Puan Seri Fauziah Mohamed Darus, suaminya meninggal di sisinya dan anak-anak. 

Allahyarham meninggalkan isteri dan tiga orang anak iaitu dua lelaki, Addha Amir, 47; dan Fuad, 42; serta seorang anak perempuan Didi, 45

Allahyarham DKL dilahirkan di Kampung Bandar Kok Lanas, Machang Kelantan mendapat pendidikan awal kampungnya sebelum ke Kolej Melayu Kuala Kangsar dan seterusnya menyambung pengajian di Universiti Cambridge dan Universiti Harvard (1982-1985).

Beliau pernah menjadi ahli parlimen dan dilantik sebagai timbalan menteri yang pertama di Jabatan Perdana Menteri (1974-76) ketika era Tun Razak, malah bekerja di bawah pimpinan perdana menteri yang kedua ini selama 14 tahun.

Bagaimanapun Allahyarham lebih dikenali sebagai salah seorang tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana dikaitkan dengan anasir komunis ketika era Tun Hussein Onn menjadi perdana menteri.

Beliau meringkuk di Kamunting selama lima tahun.

Selain itu, Allahyarham pernah dilantik oleh perdana menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai duta khas ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) selama dua tahun ke New York.

Selain aktif dalam bidang politik suatu ketika dahulu, Allahyarham juga turut terkenal sebagai penulis malah turut menghasilkan beberapa buah buku antaranya On The Record, The Dairy dan Berani Tanpa Segan (kompilasi ketika menjadi kolumnis di Sinar Harian).

Artikel Sebelum

Artikel Lain