suria

Tunggu Dan Lihat Parti Mana Yang Akan Dibantu PKR - PAS

Mohd Amar Abdullah.

KOTA BARU: PAS mengambil pendekatan tunggu dan lihat parti mana yang akan dibantu PKR pada dua pilihan raya kecil yang akan datang, kata Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Abdullah.

Beliau berkata ia akan menjadi lebih menarik untuk melihat sama ada PKR akan membantu PAS atau parti serpihan, Amanah dalam kempen yang akan datang atau sememangnya mengemukakan calon sendiri.

"Saya tidak boleh jawab pihak mana yang akan dibantu PKR sepanjang tempoh berkempen dan sama ada PKR akan membantu PAS atau Amanah, ia masih belum jelas lagi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan kunci rumah kepada pemilik 42 unit rumah teres dua tingkat yang siap dibina Profil Impian Sdn Bhd, anak syarikat Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Kelantan di Pengkalan Chepa pada Isnin.

Mohd Amar diminta mengulas laporan sebuah akhbar bahawa PKR kini tersepit untuk memilih parti mana untuk dibantu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar dan PRK Kuala Kangsar.

Timbalan Menteri Besar itu berkata apa sahaja yang berlaku nanti PAS sudah bersedia.

"Kita akan tunggu dan lihat apa sahaja yang akan berlaku nanti, dan saya percaya PAS sedia untuk berdepan sebarang kemungkinan termasuk berkempen sendirian," katanya.

Artikel Lain