suria

Adenan Lantik Tiga Timbalan Ketua Menteri

KUCHING: Susulan kecemerlangan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya negeri Sarawak ke-11 pada Sabtu, Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem mengumumkan pelantikan tiga Anggota Dewan Undangan Negeri sebagai Timbalan Ketua Menteri.

Mereka terdiri daripada Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Amar Douglas Uggah, Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Tan Sri Dr James Jemut Masing dan Timbalan Presiden Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg.

Pelantikan ketiga-tiga Timbalan Ketua Menteri itu berkuat kuasa, Jumaat.

Ini bukan kali pertama Sarawak memiliki tiga Timbalan Ketua Menteri, kerana Bumi Kenyalang ini pernah memiliki tiga orang Timbalan Ketua Menteri sekitar tahun 80-an.

PRN-11 menyaksikan BN memenangi 72 daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dipertandingkan, berbanding 55 daripada 71 kerusi pada pilihan raya negeri 2011. Kerusi DUN ditambah kepada 82 selepas proses persempadanan semula kawasan pilihan raya.

Uggah yang merupakan Naib Yang Dipertua Kanan II PBB, sebelum ini disebut-sebut akan dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri Sarawak mengambil tempat Tan Sri Alfred Jabu Numpang yang memutuskan untuk tidak bertanding PRN-11 ini.

Anggota Parlimen Betong selama 30 tahun atau tujuh penggal sejak Pilihan Raya Umum 1986 itu, bukanlah orang asing bagi pengundi di Bukit Saban, kerana kerusi itu berada dalam kawasan Parlimen Betong.

Pada PRN-11, Uggah menewaskan calon PKR Noel Changgai Bucking di DUN Bukit Saban dengan majoriti 4,599.

Sementara itu Abang Johari atau lebih mesra di sini dengan panggilan "Abang Jo" yang berjaya mempertahankan DUN Satok untuk kali ke-8 pada pilihan raya negeri kali ini, merupakan pemimpin paling senior dalam PBB selepas Adenan selaku presiden parti.

Beliau merupakan bekas setiausaha politik Tun Abdul Taib Mahmud pada 1983, semasa Taib menjadi Ketua Menteri Sarawak, dan beliau dilantik sebagai Menteri Muda Wilayah dan Pembangunan Sosial Sarawak pada Mac 1984.

Anak kepada Yang Dipertua Negeri Sarawak yang pertama Allahyarham Tun Abang Openg Abang Shapie itu berjaya mentransformasi kawasan Satok daripada sebuah petempatan kampung tradisi sehingga menjadi kawasan komersial berdaya maju.

Beliau sebelum ini ialah Menteri Perumahan dan Pelancongan negeri.

Masing pula memberikan kemenangan bergaya kepada BN Sarawak apabila semua 11 kerusi yang dipertanggungjawabkan kepada PRS berjaya dimenangi parti itu dalam PRN-11.

Beliau yang merupakan Menteri Pembangunan Tanah Sarawak sebelum ini bertanding buat pertama kali di DUN Baleh pada PRN 1983, dan pada PRN-11 beliau menewaskan Agop Linsong dari DAP dengan majoriti 4,793 undi.

Kejayaan itu membolehkan beliau kekal sebagai ADUN Baleh untuk kali kelapan.

Adenan Satem

Artikel Berikut

Artikel Lain