suria

Jenazah Rakyat Malaysia Maut Di Vietnam Selamat Dikebumikan

Mohd Nor Azman Abdull Wahab menemani jenazah abangnya, Mohd Azhar yang ditemui mati di sebuah hotel di Ho Chi Minh, Vietnam, pada 27 April lepas sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Jumaat. - fotoBERNAMA

KULIM: Jenazah Mohd Azhar Abdull Wahab, rakyat Malaysia yang meninggal dunia di Ho Chi Minh, Vietnam, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Masjid At-Taufiqiah, Ayer Merah, di sini, malam Jumaat.

Jenazah Mohd Azhar yang dibawa dengan sebuah van jenazah dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tiba di perkarangan Masjid At-Taufiqiah, di sini pada kira-kira pukul 10.40 malam.

Lebih 500 penduduk di sini hadir untuk memberikan penghormatan terakhir dan menyembahyangkan Mohd Azhar dengan diimamkan Pembantu Imam Masjid At-Taufiqiah, Saidin Darus.

Ibu mangsa Rohani Ismail, 59, sempat menatap dan mencium wajah Allahyarham Mohd Azhar seketika ketika keranda dibuka untuk memberi kesempatan kepada anggota keluarga terdekat menatap wajah arwah buat kali terakhir.

Jenazah Mohd Azhar yang telah siap dimandi dan dikafankan oleh sekumpulan masyarakat Islam di Ho Chi Minh dengan kerjasama daripada kakitangan pejabat Konsulat Malaysia di sana sebelum dibawa dengan penerbangan MH0751 dari Ho Chi Minh dan tiba di KLIA Kuala Lumpur pukul 2 petang Jumaat.

Mohd Azhar, 33 yang merupakan anggota Kumpulan vokalis Svatantrata iaitu sebuah kumpulan punk ditemui mati dengan kesan tetakan di sebuah hotel pengembara di bandar raya itu pada 23 April lepas. - BERNAMA

Artikel Lain