suria

Adenan, Abang Johari Mengundi Di SK Merpati Jepang

Adenan, Jamilah dan Abang Johari menunjukan jari mereka yang ditanda dengan dakwat kekal selepas mengundi di Pusat Mengundi DUN Satok, Merpati Jepang pada Sabtu. -fotoBERNAMA

KUCHING: Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem dan isterinya, Puan Sri Jamilah Anu, pagi Sabtu mengundi di Sekolah Kebangsaan Merpati Jepang di kawasan Dewan Undangan Negeri N8 Satok di sini.

Beliau tiba di pusat pengundian itu pada kira-kira pukul 9.10 pagi dan disambut oleh calon BN N8 Satok, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg dan Menteri Kerja Raya yang juga Anggota Parlimen Petra Jaya, Datuk Fadillah Yusof.

Abang Johari juga mengundi di pusat pengundian yang sama manakala Fadillah mengundi di pusat pengundian di Sekolah Kebangsaan Rakyat Haji Bolhassan, yang terletak bersebelahannya.

Abang Johari, yang juga Menteri Perumahan dan Menteri Pelancongan Sarawak merupakan penyandang kerusi DUN kawasan N8 Satok sejak 1983.

Dalam pilihan raya negeri kali ini, beliau ditentang calon PKR, Mohammad Salleh Shawkatali yang merupakan Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan. - BERNAMA

Artikel Lain