suria

Banglo: Guan Eng Beri Keterangan Kepada SPRM

Lim Guan Eng.

PETALING JAYA: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dipanggil untuk memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi melengkapkan siasatan berhubung pembelian banglo di Jalan Pinhorn, Pulau Pinang.

SPRM dalam satu kenyataan pada Jumaat malam berkata, Guan Eng merupakan antara enam individu yang dipanggil untuk memberi keterangan.

"Mereka yang hadir untuk memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Pulau Pinang ialah Guan Eng, isterinya, Betty Chew Gek Cheng, Pegawai Khas Guan Eng, Jeffrey Chew serta seorang lelaki yang merupakan pekerja syarikat Winbond Management and Consultant Sdn Bhd. 

"Kesemua mereka hadir di Pejabat SPRM Pulau Pinang kira-kira pukul 9.30 pagi dan selesai memberi keterangan kira-kira pukul 7 petang," menurut kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu, rakaman percakapan melibatkan Guan Eng dijangka akan bersambung semula pada Sabtu.

Terdahulu, wanita yang menjual banglonya kepada Guan Eng dan pemilik syarikat yang membeli tanah di Taman Manggis, George Town, pada Jumaat memberi keterangan kepada SPRM di sini Putrajaya.

Pembelian banglo oleh Ketua Menteri Pulau Pinang itu menjadi kontroversi apabila Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya membangkitkan isu itu pada persidangan Dewan Rakyat, Mac lepas.

SPRM

Artikel Lain