suria

60 Episod Keracunan Makanan Berlaku Di Sekolah Seluruh Negara

- Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Sebanyak 60 episod keracunan makanan melibatkan 2,325 kes dilaporkan berlaku di sekolah seluruh negara sehingga 16 April lepas.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada jumlah itu, 78.3 pertaus atau 47 episod keracunan makanan berlaku di sekolah dan institusi di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) manakala selebihnya melibatkan sekolah di bawah agensi lain seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA), Kerajaan Negeri dan sekolah swasta.

Beliau berkata berdasarkan perbandingan yang dibuat, rekod episod keracunan makanan di sekolah di bawah KPM meningkat 57 peratus berbanding 30 episod yang dicatat pada tahun lepas.

Daripada 47 episod itu, 95.7 peratus (45 episod) berpunca daripada makanan yang disediakan di kantin sekolah atau dapur asrama.

"Berdasarkan laporan hasil siasatan yang diterima dari Pejabat Kesihatan Daerah terlibat, faktor utama yang dikenal pasti penyumbang keracunan makanan ialah bahan mentah tercemar, pencemaran silang semasa pengendalian makanan, makanan disedia terlalu awal dan dimakan lewat iaitu melebihi empat jam dari masa ia disediakan.

"Selain daripada itu, didapati berlaku pengabaian suhu semasa pemprosesan, pengangkutan, penjualan dan penyimpanan bahan mentah serta makanan yang telah dimasak," katanya dalam kenyataan di sini Khamis.

Dr Noor Hisham turut mengambil contoh episod keracunan makanan di Sekolah Menengah Sains Tapah pada 3 April lepas adalah disebabkan pencemaran silang, ekoran bahan mentah yang digunakan untuk membuat roti jala itu tercemar dengan bakteria akibat pengendalian yang tidak bersih.

Menurutnya sampel klinikal yang diambil daripada pelajar yang dimasukkan ke wad mendapati jangkitan disebabkan oleh bakteria 'Salmonella Enteritidis'.

"Salmonella enteritidis adalah bakteria yang sering dikaitkan dengan pencemaran najis ayam di kulit telur. Bakteria ini juga boleh berpunca dari proses penternakan dan pengendalian telur ayam yang tidak mengikuti amalan penternakan yang baik," katanya.

Justeru beliau menyeru pengusaha kantin memantau tahap kebersihan dan mengambil tahu dari mana sumber bekalan bahan makanan khususnya makanan sedia dimakan, diperoleh bagi memastikan keselamatan makanan di sepanjang rantaian bekalan adalah terkawal.

Sekiranya pengusaha kantin dan dapur asrama sekolah didapati tidak akur dengan tatacara kebersihan dan keselamatan makanan, mereka boleh dikenakan kompaun di bawah Peraturan Kebersihan Makanan 2009.

Dalam menghadapi cuaca panas, Dr Noor Hisham turut mengingatkan pengusaha kantin membeli ais yang berbungkus dan berlabel dari premis berlesen sahaja.

Artikel Lain