suria

MSAM 2016 Platform Didik Generasi Muda Mengenai Manfaat Pelaburan

Pelakon siri 'Oh My English' Zack (kanan) dan Jibam (kiri) berinteraksi dengan pelajar Sekolah Menengah Buyung Adil sempena Minggu Saham Amanah Malaysia 2016, Jumaat.

TAPAH: Minggu Amanah Saham Malaysia (MSAM) 2016 yang berlangsung sehingga 28 April ini, merupakan platform terbaik mendidik generasi muda mengenai manfaat pelaburan bagi mengukuhkan kedudukan kewangan mereka pada masa depan.

Menurut Permodalan Nasional Bhd (PNB), antara pengisian penting MSAM kali ini adalah penganjuran taklimat harian perancangan kewangan oleh Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) yang melibatkan kira-kira 13,000 pelajar daripada 36 sekolah menengah di Perak. 

Malah, sembilan daripada sekolah terpilih itu merupakan Sekolah Kelab Pelaburan Bijak PNB termasuk Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Buyong Adil yang juga bekas sekolah Pengerusi PNB, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid. 

"Taklimat perancangan kewangan itu bermatlamat mendidik generasi muda mengenai aspek pelaburan serta perancangan kewangan apabila menempuhi alam pekerjaan kelak," kata PNB dalam satu kenyataan, di sini, Jumaat. 

Sementara itu, Pengetua SMK Buyong Adil, Natasya Chew Abdullah berkata seramai 60 orang pelajar Tingkatan Satu hingga Tingkatan Lima sekolah berkenaan menyertai Kelab Pelaburan Bijak PNB itu secara aktif.

"Kelab ini juga ada kaitannya dengan subjek Kemahiran Hidup serta mendedahkan pelajar mengenai aspek pengurusan kewangan dan pelaburan," katanya.

Setakat ini, sebanyak 104 sekolah di seluruh negara mempunyai Kelab Pelaburan Bijak PNB.

MSAM 2016 yang berlangsung sejak Rabu lepas di Stadium Mini Tapah, dibuka  kepada orang ramai mulai 10 pagi hingga 10 malam kecuali Khamis depan yang  tamat pada 2 petang. -- Bernama



MSAM, PNB, SMK Buyong Adil

Artikel Lain