suria

Pelajar, Kedai Buku Salah Guna BB1M Disenaraihitamkan

PUTRAJAYA: Kedai buku dan pelajar yang dikesan terlibat dalam penyalahgunaan Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) berdepan dengan tindakan disenaraihitamkan, kata Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh.

Beliau berkata, kementeriannya telah menerima aduan mengenai dakwaan pelajar menjual BB1M kepada kedai buku untuk mendapatkan wang tunai dan akan melakukan siasatan holistik mengenainya.

"Kita akan turun padang dalam tempoh terdekat mengenal pasti jumlah kedai buku yang mengambil kesempatan menyalahgunakan baucar itu," katanya mengulas laporan penyalahgunaan BB1M ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Buku Rubrik Purata Nilai Gred Keseluruhan Berintegrasi (iCGPA) di sini, Khamis.

Menurut laporan media, pelajar "menjual BB1M" bernilai RM250, yang bertujuan meringankan beban perbelanjaan pembelian buku, kepada kedai-kedai buku dengan harga antara RM190 dan RM230 tanpa membeli apa-apa.

Menurut laporan itu, kedai buku akan menggunakan baucar tersebut untuk membeli buku-buku yang tidak mendapat sambutan dan menuntut semula daripada kerajaan, dan pada masa yang sama, kedai terlibat akan menjual semula buku-buku berkenaan di kedai buku terpakai untuk mengaut keuntungan.

Idris berkata, pelajar yang disenaraihitamkan kerana menyalahgunakan BB1M tidak akan menerima baucar pada tahun depan manakala kedai buku yang disenaraihitam tidak akan menjadi wakil menjual buku yang boleh menerima BB1M pada masa akan datang.

Jumlah penerima BB1M pada tahun ini ialah 1.2 juta dengan nilai baucar bernilai RM300 juta.

Mengenai pelancaran Buku Rubrik iCGPA, Idris berkata, buku itu merupakan satu sumber rujukan dan sokongan serta panduan kepada tenaga pengajar universiti bagi melaksanakan iCGPA di universiti masing-masing.

"Buku Rubrik akan menerangkan amalan terbaik yang boleh dirujuk untuk mereka bentuk kurikulum, hasil pembelajaran, serta menerangkan tugasan yang sejajar dalam usaha melaksanakan iCGPA," katanya.

Kini, satu fakulti di lima universiti melaksanakan iCGPA iaitu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Universiti Malaysia Pahang (UMP). - Bernama

Artikel Berikut

Artikel Lain