suria

"Saya Tidak Campuri Tugas Peguam Negara" - Nancy Shukri

Nancy Shukri.

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri berkata, beliau tidak campur tangan dalam tugas peguam negara atau urusan mahkamah.

Kata Nancy, beliau hanya menjawab soalan bagi Jabatan Peguam Negara di parlimen dan perkara berkaitan mahkamah, disebabkan ia sebahagian daripada portfolio beliau.

"Apa jua yang saya jawab adalah berdasarkan undang-undang. Di Malaysia, peguam negara bukanlah wakil yang dipilih, jadi beliau tidak boleh berada di parlimen.

"Dalam kes saya, saya adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan bukan menteri undang-undang seperti sesetengah daripada anda (media) melaporkan. Undang-undang menjadi sebahagian daripada tugas saya," katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen di sini.

Nancy mengulas kenyataan Anggota Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo yang meminta Nancy menasihati Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali supaya membiar mahkamah menentukan sama ada kuasa pendakwaan beliau adalah mutlak. 

Gobind berkata demikian pada Rabu selepas Nancy berkata anggota Parlimen tidak boleh menyoal peguam negara secara terus, melainkan peguam negara adalah wakil yang dipilih atau dilantik.

Nancy menegaskan beliau tidak akan menasihati Mohamed Apandi seperti yang disarankan Gobind memandangkan peguam negara lebih arif tentang undang-undang. - Bernama

Nancy Shukri

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain