suria

Surat Tunjuk Sebab Dihantar Kepada Doktor 'Hilang' - Kementerian Kesihatan

Dr B. Sugumaran.

PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan menegaskan telah mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada doktor yang bertugas di Parlimen, Dr B. Sugumaran kerana tidak hadir bertugas selama beberapa minggu.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Jeyaindran Sinnadurai berkata surat tunjuk sebab itu sudah dihantar kepada doktor berusia 50 tahun itu menggunakan alamat terkininya.

"Berdasarkan prosedur operasi standard seperti yang diperuntukkan di dalam Perintah Am yang mengawal penjawat awam, semua langkah-langkah yang telah diikuti untuk mengesan doktor tersebut dengan menelefon, pergi ke rumahnya dan memeriksa dengan waris tetapi beliau masih gagal dikesan.

"Beliau pun tidak menghubungi Hospital Kuala Lumpur (HKL) mengenai ketidakhadirannya. Kami tidak tahu ke mana beliau pergi," katanya.

Dr Jeyaindran juga berkata Dr Sugumaran pernah kerap kali merekodkan ketidakhadiran.

HKL berkata Dr Sugumaran tidak pernah datang bertugas selama enam minggu.

Pengurusan HKL telah menghubungi keluarganya dan perkara tersebut dilaporkan kepada Jabatan Sumber Manusia hospital tersebut, kata jurucakap HKL dalam satu kenyataan.

"Surat mengarahkan beliau untuk kembali bertugas sudah dikeluarkan tetapi beliau tidak hadir sehingga hari ini," menurut kenyataan itu.

Namun, klinik di Parlimen beroperasi seperti biasa dengan doktor baharu telahpun dihantar ke sana.


Artikel Lain