suria

Tanah Di Kawasan Perlombongan Bauksit Boleh Dipulihkan

Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

KUALA LUMPUR: Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, tanah di sekitar kawasan perlombongan bauksit boleh dipulihkan untuk aktiviti penanaman pada masa depan.

Bagaimanapun, rawatan tanah berkenaan boleh menjangkau sehingga tempoh 50 tahun sebelum ia dapat dipulihkan seperti sediakala, katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar Malaysia-Korea 'Healthy River Basin' di sini Rabu.

Menjelaskan lanjut mengenai kaedah pemulihan berkenaan, Ketua Pengarah Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Datuk Seri Abd Rahman Abd Rahim berkata, kawasan perlombongan bauksit yang menjalani rawatan perlu ditanam dengan tanaman menjalar seperti kekacang untuk tempoh yang lama.

"Ini kerana tanaman menjalar boleh membantu meningkatkan kualiti tanah dan ia telah terbukti di Malaysia.

"Contohnya, ibu pejabat Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) di Kepong, telah menjalani rawatan yang sama kerana tanahnya merupakan kawasan bekas lombong sebelum ia dipulihkan semula sebagai kawasan hijau," katanya.

"Berkemungkinan ia akan ambil masa hingga 50 tahun sebelum semua kembali normal, tetapi untuk memulihkan tanah yang usang semangnya boleh," katanya.

Pada Selasa, Bernama melaporkan seorang Profesor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkata Ladang kelapa sawit di Felda Bukit Goh, Bukit Kuantan, Bukit Sago dan Bukit Nerang di Pahang berdepan masa suram berikutan perlombongan bauksit di kawasan berkenaan.

Dr Maketab Mohamed berkata, perlombongan bauksit di kawasan itu menghasilkan kromium yang beracun dan boleh merosakkan tanaman kelapa sawit di kawasan Felda terbabit.

Sementara itu, bercakap mengenai perkembangan lain, Wan Junaidi berkata, sikap kurang kesedaran dan tanggungjawab sosial dalam kalangan orang ramai, untuk memelihara dan melindungi sungai, menyumbang kepada peningkatan pencemaran sungai di negara ini.

Katanya, insiden pencemaran sungai meningkat sebanyak sembilan peratus pada 2014, berbanding lima peratus pada 2013 .

Terdahulu, Wan Junaidi dianugerahkan Profesor Penyelidikan oleh University of Seoul dalam bidang alam sekitar atas usaha cemerlang dan sumbangan beliau dalam menangani masalah jerebu tahun lepas.

Artikel Lain