suria

Inspektor Polis, Ibu Tunggal Didakwa Rompak RM620,000

Kedua-dua didakwa merompak wang sebanyak RM620,000 dari syarikat pengurup wang di Mahkamah Sesyen di sini, Rabu.

KUALA LUMPUR: Inspektor polis dan seorang ibu tunggal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan merompak secara berkumpulan membabitkan RM620,000 milik sebuah syarikat pengurup wang.

Inspektor M. Ruben, 30, dan N. N. Pugunaswary, 40, ibu kepada tiga anak membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Shamsudin Abdullah. 

Mereka bersama-sama seorang lagi yang masih bebas, didakwa merompak beg yang mengandungi wang tunai RM620,000 milik Syarikat Spectrum Forex di Jalan Maarof, Brickfields, di sini pada 12.20 tengah hari, 10 Februai lepas.

Hakim Shamsudin membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dengan syarat mereka perlu melaporkan diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang pada setiap bulan dan menetapkan 19 Feb depan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen. 

Mahkamah turut menetapkan 25 Feb ini untuk pengurusan kes dengan  perbicaraan ditetapkan pada 4 dan 10 Mac depan. 

Ruben yang bertugas di IPD Klang diwakili Datuk Geethan Ram Vincent manakala peguam S. S. Ruban mewakili Pugunaswary, yang juga merupakan seorang penghantar wang di syarikat itu. 

Timbalan Pendakwa Raya Nor Diana Nor Azwa menjalankan pendakwaan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebat, jika sabit kesalahan. -- Bernama 

Spectrum Forex, M Ruben

Artikel Lain