suria

Pengawal Keselamatan Didakwa Rogol Pelajar Tingkatan Lima

Tarmizi Yaakob, 20, diiringi anggota polis ketika hadir di Mahkamah Majistret Balik Pulau, Selasa -fotoTHESTAR
BALIK PULAU: Pengawal keselamatan yang didakwa membunuh seorang pelajar perempuan Tingkatan Lima Oktober lepas, pada Selasa sekali lagi didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan merogol gadis tersebut.

Tarmizi Yaakob, 20, didakwa melakukan perbuatan itu terhadap remaja berkenaan yang merupakan kekasihnya pada pukul 7.30 pagi di Teluk Kumbar dekat sini pada 25 Oktober tahun lalu mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan oleh Tarmizi yang hanya tunduk mendiamkan diri ketika pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Nur Azzuin Moati.

Mahkamah kemudian menetapkan 22 Mac depan untuk sebutan kes itu.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya J.G. Kaameini.

Sementara itu, di mahkamah yang sama Nur Azzuin turut menetapkan 22 Mac depan untuk sebutan kes bunuh yang dihadapi oleh Tarmizi.

Mahkamah menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Shafiq Mahadi memohon tarikh sebutan baharu untuk memindahkan kes tersebut ke Mahkamah Tinggi.

Dalam prosiding itu, Shafiq turut memaklumkan mahkamah bahawa laporan bedah siasat mangsa telah siap.

Pada 6 November lepas, Tarmizi dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan membunuh gadis itu di tempat sama antara pukul 7.30 pagi dan 7.30 malam, 25 Oktober tahun lepas.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Artikel Lain