suria

Najib Sertai Sidang Kemuncak Pemimpin AS-ASEAN Dihoskan Obama

Obama bersama Najib melambai tangan ketika menyambut ketibaan para pemimpin Asean di Sidang Kemuncak Pemimpin AS-ASEAN. - fotoBERNAMA

SUNNYLANDS (California): Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak dan pemimpin Asia Tenggara menyertai Presiden Barack Obama di Sidang Kemuncak AS-ASEAN selama dua hari yang sedang berlangsung di sini.

Tumpuan pemimpin pada perhimpunan Isnin ini (Selasa di Malaysia) adalah bagi mengukuhkan pertumbuhan ekonomi ASEAN menerusi inovasi dan keusahawanan.

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed menyertai Najib semasa perbincangan mengenai ekonomi.

Malaysia, selaku Pengerusi ASEAN 2015, menjadi tuan rumah kepada Sidang Kemuncak ASEAN-AS Ketiga di Kuala Lumpur, November tahun lepas.

Semasa di Kuala Lumpur, Presiden Obama telah menjemput pemimpin dari 10 negara anggota ASEAN itu untuk mengadakan pertemuan di bumi Amerika Syarikat buat kali pertama.

ASEAN terdiri daripada Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.

Obama dan pemimpin ASEAN dijadualkan menghadiri majlis makan malam di Sunnylands, sebuah estet seluas 90 hektar di Rancho Mirage yang merupakan lokasi sidang kemuncak itu, di mana mereka akan meneruskan perbincangan.

Mereka dijangka membincangkan secara mendalam isu berkaitan politik dan keselamatan termasuk memerangi keganasan, maritim dan isu rentas negara pada Selasa (Rabu di Malaysia). - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain