suria

53 Lembu 'Diangkut' Perompak, Penternak Rugi RM200,000

- Gambar hiasan
TANGKAK: Seorang penternak menanggung kerugian hampir RM200,000 selepas 53 lembu peliharaannya dilarikan sekumpulan lelaki bertopeng di Jalan Paya Mas, Kampung Simpang Bekoh, di sini Selasa.

Penternak lembu itu, Mohd Amadi Ali, 23, berkata ketika beliau berehat di sebuah pondok di ladang ternakan awal pagi tadi, lapan lelaki bertopeng datang ke arahnya.

"Mereka mengarahkan saya tidak berbuat apa-apa dan mengikat tangan serta kaki saya menggunakan wayar.

"Kemudian mereka mengunakan selimut menutup muka saya sebelum melarikan lembu itu mengunakan sebuah lori," katanya kepada pemberita Selasa.

Katanya beliau percaya perompak mengunakan lori 10 tan kerana mendengar bunyi brek angin.

Beliau berkata perompak itu juga melarikan sebuah motosikal miliknya, serta merampas dompetnya.

"Saya tidak dapat berbuat apa-apa kerana dalam keadaan terikat dan mata tertutup.

"Selepas mendengar perompak itu beredar, saya cuba melepaskan diri dengan meregangkan ikatan pada tangan dan kaki," katanya.

Mohd Amadi berkata beliau terus ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak kira-kira jam 5.30 pagi bagi membuat laporan polis.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ledang, Supt Mohammad Salleh Abd Razak, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

"Siasatan awal mendapati rompakan itu dipercayai dilakukan sekumpulan lelaki tempatan berdasarkan laporan yang dilakukan mangsa. Polis juga masih melakukan siasatan secara menyeluruh berkaitan kejadian tersebut.

"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkawan. Polis juga meminta orang ramai yang mempunyai maklumat atau membeli daging lembu dengan harga murah supaya menghubungi balai polis berhampiran," katanya.

rompak lembu, penternak lembu

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain