suria

SPRM Tahan Kontraktor Seleweng RM190,000

PETALING JAYA: Seorang pemilik sebuah syarikat di utara tanah air ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki terlibat dengan penyelewengan tuntutan peruntukan bagi menjalankan program di sebuah universiti berjumlah kira-kira RM190,000.

Difahamkan suspek lelaki itu mempunyai kaitan dengan penahanan seorang pensyarah wanita bergelar Prof Madya sebuah universiti awam pada 28 Januari lalu.

Pengarah SPRM Kedah,  Datuk Mohd Fauzi Mohamad mengesahkan mengenai penahanan itu dan siasatan sedang dijalankan terhadap kontraktor terbabit.

"Siasatan dibuat rentetan daripada aduan berhubung penyalahgunaan dana Pusat Kecemerlangan IPT di utara Malaysia oleh kontraktor terbabit sekitar tahun 2013 hingga 2014.

"Suspek berusia 30an ditahan dirumahnya sekitar jam 11 pagi tadi untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan berkenaan.

"Saspek dipercayai mempunyai pertalian persaudaraan dengan suspek utama yang ditahan SPRM Kedah 2 minggu lalu," kata Mohd Fauzi menerusi kenyataan SPRM pada Ahad.

Selain itu Mohd Fauzi berkata beberapa penahanan akan dibuat dalam masa terdekat bagi membantu siasatan berhubung kes yang sama.

Pada 28 Januari lalu SPRM menahan wanita berusia 46 tahun kerana disyaki membuat penyelewengan tuntutan ketika pensyarah berkenaan yang berasal dari Perlis, memegang jawatan sebagai Pengarah sebuah pusat di universiti ber­kenaan antara 2012 hingga 2015.

SPRM, Seleweng Tuntutan

Artikel Lain