suria

Sabbaruddin Chik Dilantik Pengerusi Amanah Raya Berhad

Sabbaruddin Chik.

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, Tan Sri Sabbaruddin Chik dilantik sebagai Pengerusi Amanah Raya Berhad (AmanahRaya) berkuat kuasa 8 Januari lepas.

Sabbaruddin menggantikan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang dilantik sebagai Timbalan Menteri Luar pada 27 Julai tahun lepas.

Pengarah Urusan Kumpulan Amanah Raya, Datuk Abd Rahman Md Khalid dalam satu kenyataan berkata, pihaknya yakin ketokohan dan pengalaman Sabbaruddin akan membawa AmanahRaya ke tahap yang lebih tinggi lagi.

Sabbaruddin merupakan tamat pengajian di Universiti Malaya pada 1963 dan seterusnya memperoleh Ijazah Sarjana dalam bidang Pentadbiran Awam dari Institut Pengajian Sosial, Holland pada 1974. 

Beliau memulakan kariernya sebagai penjawat awam pada 1966 dengan berkhidmat sebagai Penolong Setiausaha Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan sebelum dilantik Penolong Setiausaha, Kementerian Luar pada 1967.

Pada tahun yang sama, beliau dilantik sebagai Setiausaha Kedua di Kedutaan Malaysia di Saigon yang kemudiannya dilantik sebagai pegawai 'Charge D’affaires' kedutaan yang sama dari 1969 sehingga 1971.

Dari 1972 hingga 1979, Sabbaruddin berkhidmat sebagai Penolong Setiausaha Kanan di Jabatan Perdana Menteri, Pengarah Sosioekonomi, Unit Perancang Ekonomi di Jabatan Perdana Menteri, Pengarah, Perdagangan Antarabangsa, Kementerian Perdagangan Antarabangsa.

Karier politik Sabbaruddin bermula semasa beliau berkhidmat sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor pada 1980 dan berkhidmat sebagai Timbalan Menteri Kewangan dari 1982 sehingga 1987.

Kemudian, beliau dilantik sebagai Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan dari 1987 hingga 1999 dan berjaya meletakkan Malaysia di peta dunia sebagai destinasi pelancong asing. 

Bekas Anggota Parlimen Temerloh selama empat penggal dari 1982 hingga 1999 itu pernah dilantik sebagai pengerusi dan anggota lembaga pengarah dalam beberapa syarikat konglomerat seperti Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad, Priceworth International Berhad, Eden Inc. Berhad (dikenali juga sebagai Eden Enterprises M Bhd), Pernas Trading Sdn Bhd, Malaysian Electronic Payment System Sdn Bhd, Nudex Ventures Sdn. Bhd and IPTB Sdn Bhd. - Bernama

Artikel Berikut

Artikel Lain